Berita

Majlis Khatam Al-Quran tarik minat 1,500 pelajar sekolah rendah

Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa mengalu-alukan usaha penganjuran program Khatam Al-Quran bagi memupuk minat dan kecintaan pelajar terhadap Al-Quran.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, beliau optimis penganjuran majlis ini adalah selari dengan aspirasi sistem Pendidikan Malaysia iaitu untuk memastikan setiap murid mencapai potensi yang ada pada diri mereka sepenuhnya.

“Saya juga percaya pengisian majlis ini dapat membentuk dan melahirkan rasa cinta terhadap Al-Quran dan pembudayaan pembacaan Al-Quran di kalangan murid-murid,” katanya.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Khatam Al-Quran Perdana Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2023 di Masjid Dato’ Klana Petra Mohd Yusof, Sikamat.

Aminuddin berkata, majlis seumpama ini adalah salah satu fasa penghargaan kepada mereka khususnya murid Tahun 6 supaya memberikan galakan dan sokongan atas usaha mereka supaya menjadi pelajar contoh buat rakan-rakan mereka yang lain.

“Saya percaya, penganjuran majlis ini bukan sekadar untuk meraikan kejayaan anak-anak menamatkan pengajian membaca Al-Quran, tetapi apa yang paling penting ialah mesej yang hendak disampaikan dan pengertiannya kepada kita.

“Penghayatan kepada isi kandungan ayat-ayat suci Al-Quran juga akan memberi kita inspirasi dan galakkan untuk lebih berusaha mendekatkan diri kepada Ilahi dan menguasai segenap bidang ilmu pengetahuan,” ujar Aminuddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button