Berita

Malaysia naik ke tangga 54 indeks persepsi rasuah dunia

KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia melonjak ke tangga 54, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memerangi rasuah secara menyeluruh dan berstruktur.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan itu adalah hasil usaha tegas kerajaan membanteras rasuah sistemik serta membetulkan kelemahan struktur tadbir urus negara yang sekian lama membelenggu pentadbiran awam.

Menurut beliau, pencapaian berkenaan turut didorong oleh tindakan penguatkuasaan agresif agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Kerajaan berjaya memulihkan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, dana dan pembanterasan sindiket rasuah serta ketirisan yang telah lama menjejaskan kewangan awam.

“Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi apabila integriti institusi strategik dipersoalkan, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap salah laku dan penyelewengan dalam sektor pertahanan serta membongkar kartel dan kes rasuah berprofil tinggi,” kata Anwar.

Beliau menekankan bahawa prinsip tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang terus menjadi pegangan utama pentadbiran negara dalam memastikan keadilan ditegakkan.

Menurut Perdana Menteri, pencapaian ini bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya menjadi peringatan kepada semua pihak untuk menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten dan berani demi memulihkan keyakinan rakyat serta mempertahankan amanah negara.

Show More

Related Articles

Back to top button