BeritaProgram

Negeri Sembilan lulus had umur 18 tahun calon ADUN

SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan meluluskan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (Pindaan) 2021 yang membenarkan had kelayakan umur calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pindaan Perkara 49 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 itu diluluskan selepas mendapat sokongan dua pertiga daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

32 ADUN termasuk daripada Pakatan Harapan (PH) dan BN menyokong, manakala empat ADUN tidak hadir semasa sesi penggundian.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun (Sikamat-PH) berkata, Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Seksyen 4 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 (AktaA1603) memperuntukkan penurunan had umur seorang warganegara yang layak menjadi ADUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Sekiranya Kerajaan Negeri tidak meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan mengikut Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan; jika pilihan raya Parlimen dan DUN diadakan serentak, beberapa implikasi akan timbul.

“Ini termasuk kejanggalan perbezaan umur minimum calon DUN dan Parlimen, selain pelaksanaan yang tidak seragam dengan negeri lain yang telah membuat pindaan tersebut terlebih dahulu,” kata Aminuddin di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan hari ini.

Sementara itu ADUN Chennah, YB Loke Siew Fook berkata, beliau menyokong penuh had umur calon DUN diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Harapan kita pada masa akan datang ada wakil rakyat berumur 18 tahun ke 21 tahun terpilih sebagai ADUN dan membawa suara dan aspirasi generasi muda ke dewan yang mulia ini,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button