73 pekerja asing tinggal dalam kontena, tindakan tegas telah diambil

NILAI: Pada 8 Julai 2025, satu operasi bersepadu penguatkuasaan buruh bernama ‘OPS PLASTIK’ telah dijalankan di sebuah kilang di Arab Malaysian Industrial Park, Nilai.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam telah mengetuai satu operasi ini dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan (JTKNS) dan sokongan pelbagai agensi penguatkuasa melibatkan seramai 54 anggota.
Hasil serbuan berdasarkan aduan awam ini telah dedahkan ketidakpatuhan Standard Penginapan Pekerja Asing dimana seramai 73 pekerja asing (17 warga Nepal, 56 warga Bangladesh) ditempatkan di 16 kontena di kawasan kilang tanpa sebarang perakuan dari JTKNS.
Selain itu, keadaan penginapan dan persekitaran kerja didapati tidak selamat dan tidak bersih, termasuk pencemaran udara serta kebisingan melampau.
“Pihak majikan juga mengakui kelemahan dan memberi komitmen untuk memindahkan pekerja ke penginapan berdaftar dalam masa tiga hari serta menghadiri Kursus Ceramah Perburuhan.
“Dalam pada itu, beberapa kesalahan telah dikenalpasti serta tindakan undang-undang telah dikenakan oleh agensi yang turut serta dalam serbuan ini.
“Antaranya, pihak JTKNS telah membuka tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 24D Akta 446, pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah mengeluarkan kompaun RM500 dan arahan menutup tempat penginapan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengeluarkan kompaun di atas pembiakan nyamuk di premis kilang serta pihak SAINS akan menjalankan penukaran meter air yang rosak.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa operasi seperti ini akan diteruskan secara berkala bagi menegakkan keadilan pekerja dan memastikan majikan mematuhi standard perburuhan, kesihatan serta keselamatan,” kata Veerapan.
Veerapan berkata, Kerajaan Negeri Sembilan komited untuk memperkukuh kesejahteraan tenaga kerja asing dan tempatan demi mewujudkan ekosistem pekerjaan yang adil dan mampan.
“Penginapan yang tidak berperakuan bukan hanya melanggar undang-undang tetapi melanggar prinsip kemanusiaan serta wajar dikenakan tindakan yang tegas demi mewujudkan ekosistem ekonomi yang mampan di Negeri Sembilan,” jelas Veerapan.