Berita

Masjid dan surau di Jempol terima sumbangan lebih setengah juta ringgit

JEMPOL: Seluruh masjid dan surau di daerah Jempol menerima sumbangan kewangan berjumlah RM674,000 daripada Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sumbangan ini diberikan bagi mengimarahkan lagi masjid dan surau dengan aktiviti sempena sambutan bulan Ramadan.

“Pada kesempatan ini, saya turut berpeluang menyerahkan sumbangan kepada 21 asnaf di Masjid Al Muttaqin Felda Palong 4 serta 19 asnaf di Masjid Kariah Felda Palong 1, sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.

“Selain itu, saya juga menyampaikan sumbangan daripada Selia Group kepada penerima yang terpilih, dengan harapan ia dapat memberi manfaat dan keberkatan kepada mereka,” kata Aminuddin.

Ekspedisi Jelajah Ihya Ramadan di daerah Jempol bermula di Masjid Al Muttaqin, Felda Palong 4, dengan Majlis Berbuka Puasa yang diikuti solat fardu Maghrib bersama ahli kariah.

Kehadiran dalam suasana penuh keberkatan ini turut mengeratkan ukhuwah sesama masyarakat.

Perjalanan diteruskan ke Masjid Kariah Felda Palong 1 bagi menunaikan solat Isyak dan Terawih, sebelum menikmati Moreh bersama penduduk setempat, meneruskan tradisi kebersamaan dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat.

Dalam pada itu, Masjid Kariah Palong 1 kini dikenali sebagai Masjid Al Taqwa Kariah Felda Palong 1, satu langkah yang melambangkan semangat pembaharuan dan pembangunan berterusan.

“Semoga segala usaha ini membawa keberkatan serta kebaikan kepada semua,” ujar Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button