Berita

Merancakkan pertumbuhan melalui digitalisasi untuk jangkauan global

SEREMBAN: Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, telah merasmikan Majlis Perasmian Program Penandaarasan SPP-PMKS Negeri Sembilan Pembangunan (Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan) di Hotel Royal Chulan, Seremban.

Program bertemakan ‘Merancakkan pertumbuhan melalui digitalisasi untuk jangkauan global’ ini terdiri dari para usahawan dan juga agensi-agensi Kerajaan pada hari ini yang mana mencerminkan komitmen semua dalam mempertingkatkan diri dalam perniagaan, serta membina sinergi ke arah memperkukuh ekosistem keusahawanan khususnya di Negeri Sembilan.

“Pihak Kerajaan Negeri turut mengambil maklum bahawa terdapat tujuh SPP yang telah menyertai Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (PPSPP) di bawah MATRADE dan ia merupakan aspirasi terbaik kepada usahawan PMKS di negeri ini untuk terus melangkah lebih jauh dan bersaing di peringkat antarabangsa.

“Selaras dengan aspirasi untuk memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan dalam landskap ekonomi digital negara, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027 sebagai satu pelan tindakan strategik jangka panjang termasuk pembinaan Regional Halal Distribution Centre (RHDC) di Bandar Enstek dengan pelaburan hampir RM600 juta,” ujar Veerapan.

Veerapan berkata, sebagai bukti kepada komitmen ini, Negeri Sembilan merupakan antara negeri terawal yang berjaya mencapai sasaran pelaksanaan infrastruktur digital di bawah Projek JENDELA.

“Usaha mempercepatkan penyediaan kemudahan internet berkualiti tinggi, terutamanya di kawasan luar bandar, dilaksanakan bagi merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

“Langkah ini juga memastikan semua lapisan masyarakat mendapat peluang yang sama untuk terlibat dalam ekonomi digital termasuk di Jelebu, Gemas, mahupun Kuala Pilah mempunyai akses yang setara kepada maklumat, keupayaan untuk mengurus jualan dalam talian, dan kebolehan untuk berhubung dengan pelanggan dari luar negara,” jelas Veerapan.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MATRADE kerana sudi menganjurkan program ini sebagai inisiatif untuk membantu PMKS dalam mengembangkan perniagaan mereka di pasaran tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE, Mansor Shah Wahid dan Pengarah Pejabat MATRADE Wilayah Selatan, Mohamad Haris Abdul Latiff.

Show More

Related Articles

Back to top button