Berita

Amerika, Belanda, Australia dan Jepun, lima pelabur terbesar di Negeri Sembilan tahun 2026

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa sentiasa komited dalam usaha menarik pelaburan bagi melonjakkan ekonomi negeri dengan pelbagai usaha melibatkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, lima pelaburan asing terbesar yang telah dikenal pasti bagi kemasukan pelaburan dalam perancangan ke Negeri Sembilan pada tahun 2026 antaranya melibatkan:

Projek Gudang Sejuk Beku Pintar Bertingkat dari Jepun yang akan menjalankan operasi di Techpark 2, Enstek dengan nilai pelaburan sebanyak RM300 juta. Operasi syarikat ini adalah dalam klasifikasi Perkhidmatan Logistik;

Projek Peralatan Perubatan, juga dari Jepun yang akan beroperasi di Sendayan Techvalley dengan nilai pelaburan RM280 juta yang berada dalam sektor pembuatan;

Projek E&E Semikonductor dari Belanda yang akan beroperasi di Senawang dengan nilai pelaburan dalam lingkungan keseluruhan sebanyak RM2 bilion.

Fasa pertama bagi projek ini dianggarkan dengan nilai pelaburan sekitar RM0.3 bilion atau RM300 juta. Projek ini juga dalam sektor pembuatan;

Projek Kampus Data AI dari Amerika Syarikat yang telah dikenalpasti untuk dibangunkan di Bandar Springhill, Lukut.

Nilai pelaburan bagi pembangunan kampus data AI ini dianggarkan mencecah RM5 bilion dan diklasifikasikan dalam sektor perkhidmatan digital;

“Juga dalam sektor perkhidmatan digital, suka saya nyatakan dalam Dewan yang Mulia ini bahawa usaha atau gerak kerja di peringkat agensi berkaitan pelaburan dan juga teknikal dipergiatkan bagi memastikan perkara ini dapat direalisasikan.

“Ia adalah merupakan satu pelaburan dari Australia bagi pembangunan projek Pusat Data AI berjumlah RM20 bilion keseluruhannya.

“Fasa pertama dijangka mencecah rekod pelaburan sebanyak RM10 bilion dan sekiranya berjaya, Insya Allah bakal ditempatkan di pembangunan NSSV, Parcel F, MVV 2.0.

“Kelima-lima projek strategik ini bertumpu di Daerah Seremban dan Port Dickson, yang terletak dalam Wilayah MVV 2.0 — kawasan pertumbuhan utama yang kini menjadi pemangkin kepada pembangunan industri berimpak tinggi di Negeri Sembilan,” jelas Aminuddin.

Menurut Aminuddin, melihat kepada momentum semasa, Kerajaan Negeri menjangkakan bahawa pelaburan baharu, khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, akan terus berkembang dengan lebih pesat pada masa akan datang.

“Pertumbuhan ini dijangka rancak dalam tempoh lima tahun seterusnya, didorong oleh pembukaan kawasan-kawasan industri baharu yang bukan sahaja strategik tetapi turut dilengkapi jaringan jalan raya yang baik, infrastruktur moden serta ekosistem sokongan yang komprehensif.

“Dengan hala tuju pembangunan yang jelas, perancangan yang berpandangan jauh, serta komitmen menyeluruh daripada semua pihak, Negeri Sembilan berada pada kedudukan optimum untuk muncul sebagai hab pelaburan serantau yang dinamik,” ujar beliau.

Aminuddin berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Rahang, Desmond Siau Meow Kong (PH) di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15.

Desmond Siau bertanya, apakah lima pelaburan asing terbesar yang sedang dalam perancangan untuk masuk ke Negeri Sembilan pada tahun 2026, serta sektor mana yang akan menerima manfaat utama?

Show More

Related Articles

Back to top button