Mohd Zaidy komited pastikan pembangunan DUN Jeram Padang beri manfaat menyeluruh
JERAM PADANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir, terus menzahirkan komitmen tinggi dalam memastikan setiap usaha pembangunan di kawasan DUN Jeram Padang dilaksanakan dengan baik, tersusun dan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
Baru-baru ini, beliau berkesempatan meninjau kawasan sekitar bulatan Kampung Taman Jaya bersama barisan kepimpinan setempat bagi melihat sendiri keperluan serta hala tuju pembangunan di kawasan berkenaan.
Ujarnya, hasil tinjauan tersebut menunjukkan bahawa kawasan itu memerlukan penambahbaikan dari segi kemudahan awam dan landskap bagi meningkatkan keselamatan serta keselesaan penduduk.
“Dua peruntukan penting telah diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu sebanyak RM500,000 untuk projek menaik taraf bulatan Kampung Taman Jaya dan RM30,000 bagi kerja-kerja menaik taraf fasiliti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di kampung tersebut,” katanya.
Menurut Mohd Zaidy, projek-projek ini akan memberi impak positif kepada masyarakat setempat, bukan sahaja dari aspek keselamatan dan kemudahan awam, tetapi juga dalam memperkukuh semangat perpaduan komuniti melalui pelaksanaan aktiviti KRT yang lebih selesa dan berfungsi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak KPKT atas keprihatinan terhadap keperluan rakyat di DUN Jeram Padang serta menegaskan bahawa pelaksanaan setiap projek yang diluluskan akan dipantau dengan teliti agar ia benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut berkesempatan meninjau kemajuan kerja-kerja naik taraf dan pembaikan Klinik Desa FELDA Bukit Rokan Barat, Jempol yang kini sedang dilaksanakan oleh pihak kontraktor Risno Jaya Enterprise di bawah seliaan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jempol.
Katanya, permohonan bagi projek tersebut telah dikemukakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Jempol tahun lalu, sebagai langkah memastikan kemudahan kesihatan di kawasan FELDA dapat terus berfungsi dengan baik dan memberi keselesaan kepada penduduk setempat.
“Syukur alhamdulillah, permohonan tersebut telah diluluskan dan kini kerja-kerja sedang berjalan dengan tarikh mula 28 Julai 2025 dan dijangka siap pada 17 November 2025.
“Terima kasih kepada Pejabat Kesihatan Daerah Jempol dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek ini dilaksanakan dengan baik demi kesejahteraan rakyat FELDA Bukit Rokan Barat,” kata Mohd Zaidy.
Beliau menegaskan bahawa keutamaannya selaku sebagai wakil rakyat ialah memastikan setiap projek pembangunan yang diluluskan dilaksanakan dengan baik, telus dan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.
Tambah beliau, usaha pembangunan di DUN Jeram Padang akan terus dijalankan secara berterusan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta serta kepimpinan tempatan bagi memastikan kemajuan kawasan ini seimbang dan mampan.
Mohd Zaidy turut menyeru semua pihak agar terus berganding bahu dan menyokong inisiatif pembangunan yang sedang dijalankan demi kesejahteraan rakyat Jeram Padang secara keseluruhannya.
“Ayuh kita terus bekerja demi kesejahteraan masyarakat kawasan DUN Jeram Padang,” katanya lagi. (UMNO Online)
 
				


