BeritaMenarik

Mustapa perkenal konsep ‘Bapa Angkat’ persatuan sukan di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Mustapha Nagoor telah memperkenalkan konsep ‘Bapa Angkat’ untuk semua persatuan sukan di Negeri Sembilan.

Mustapha berkata, beliau telah menjalankan kajian sejak beberapa bulan yang lalu dan mendapati banyak persatuan sukan yang memerlukan sokongan.

“Pertamanya, persatuan sukan memerlukan figura tertentu untuk menjadi motivator dan fasilitator persatuan.

“Keduanya, sejak dua minggu yang lalu, saya telah berjumpa dengan 30 syarikat besar (industry player) di Negeri Sembilan.

“Saya akan minta jasa baik syarikat-syarikat ini yang telah berpuluh tahun bertapak di Negeri Sembilan, untuk sama-sama mengambil tanggungjawab membangunkan sukan di Negeri Sembilan,” kata Mustapha.

Mustapha berkata, secara dasarnya pemain industri ini bersetuju dengan inisiatif beliau.

“Cuma tinggal lagi saya kena perincikan syarikat mana jaga sukan apa.

“Satu syarikat akan menjadi Agensi Angkat kepada satu sukan.

“Maka Bapa Angkat ini akan menjadi pemudah cara kepada Agensi Angkat,” jelas Mustapha.

Tambah beliau, Bapa Angkat akan menjadi pemudahcara di antara persatuan sukan dengan Agensi Angkat (syarikat swasta) dalam pembangunan sukan itu.

“Inisiatif ini bukan sahaja untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak tahun ini tetapi sebenarnya saya lebih fokus kepada SUKMA akan datang yang akan berlangsung dua tahun dari sekarang.

“Bapa Angkat dan Agensi Angkat ini akan disekretariatkan oleh Majlis Sukan Negeri.

“Ini salah satu pendekatan kita membuat persiapan lebih rapi untuk SUKMA akan datang.

“Syarikat-syarikat ini akan menaja untuk pembangunan sukan itu,” ujar Mustapha yang juga ADUN Palong.

Show More

Related Articles

Back to top button