Berita

Negeri Sembilan bakal miliki pelabuhan kontainer pertama

SEREMBAN: Negeri Sembilan bakal memiliki sebuah pelabuhan kontainer di sepanjang persisiran pantai Kuala Sungai Linggi, Port Dickson.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pelabuhan ini akan mempunyai jeti sepanjang 1.8 kilometer panjang serta terminal dan kawasan pengoperasian kontena seluas lebih kurang 200 ekar yang dilengkapi sepenuhnya dengan kren gantry yang akan dioperasikan secara automatik.

“Kawasan pelabuhan yang akan dibangunkan ini juga telah diwartakan sebagai Had Pelabuhan (Port Limits) oleh Kerajaan Persekutuan sejak Ogos 2017.

“Dalam masa sama, pelabuhan kontainer ini akan dilengkapi dengan teknologi Artificial Intelligence (AI) sekali gus menjadi pelabuhan pertama di negara ini yang akan menggunakan AI.

“Selain itu, dengan wujudnya pelabuhan ini akan menjadikan Port Dickson bukan sahaja Bandar Tentera Darat tetapi akan dikenali sebagai Bandar Pelabuhan Baharu,” kata Aminuddin.

Aminuddin turut tambah, pembukaan kawasan pelabuhan baharu itu juga akan turut memberikan peluang pekerjaan sehingga 5,000 kekosongan jawatan.

“Ia turut memberi manfaat kepada kawasan perindustrian berdekatan sekitar Sepang, Senawang, Nilai dan Melaka.

“Pelabuhan ini melibatkan pelaburan daripada pihak swasta kerana kawasan tanah yang dibangunkan untuk dijadikan pelabuhan tersebut adalah tanah persendirian,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button