Negeri Sembilan berhasrat kurangkan pengambilan pekerja asing

SEREMBAN: Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, Veerapan Superamaniam telah mempengerusikan Mesyuarat Libat Urus Jabatan Tenaga Kerja bersama Jabatan Penjara Malaysia Negeri Sembilan di Bilik Mesyuarat Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan.
Veerapan berkata, beberapa isu telah diketengahkan dan dibincang termasuk isu Penggajian Pekerja Asing di pelbagai sektor di Negeri Sembilan.
“Selain itu, isu pengginapan, penempatan pekerja asing di sektor dan lokasi yang tidak sah serta gaji pekerja tidak dibayar turut dibincangkan.
“Dalam pada itu, pihak Penjara Malaysia Negeri Sembilan menerangkan penempatan pekerja tempatan iaitu banduan (ODS) di sektor industri mengikut permintaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing serta kos pengurusan.
“Pihak majikan yang hadir bersama bersetuju secara dasar dalam pengambilan pekerja banduan (ODS) bagi syarikat mereka serta akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara ini.
“Dalam akhir sesi ini, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) memaklumkan bahawa Seminar Perburuhan akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyeleraskan penempatan serta isu penggajian pekerja,” kata Veerapan.
Veerapan juga menyentuh mengenai polisi Kerajaan Negeri Sembilan yang berhasrat mengurangkan pengambilan pekerja asing bagi memberi peluang pekerjaan kepada tenaga tempatan.