Negeri Sembilan sepatutnya raih tiga mata, isu pemain import JDT jadi persoalan

SEREMBAN: Perlawanan antara Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) menentang Negeri Sembilan Football Club (NSFC) kini mencetuskan perdebatan apabila timbul dakwaan pelanggaran peraturan berkaitan penggunaan pemain import, yang berpotensi menjejaskan keputusan perlawanan tersebut.
Isu berkenaan dibangkitkan oleh wartawan bola sepak antarabangsa, Romain Molina, yang mendakwa terdapat kemungkinan JDT menurunkan lebih daripada jumlah pemain import yang dibenarkan dalam satu perlawanan Liga Super Malaysia, khususnya ketika aksi menentang Negeri Sembilan.
Menurut beliau, beberapa pemain seperti Irazabal, Figueiredo dan Hevel yang didakwa berdepan isu berkaitan lesen turut beraksi bersama pemain import lain termasuk Jairo, Bergson, Park, Sidibé, Arribas dan Israfilov.
Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada jumlah pemain asing di atas padang telah melebihi had ditetapkan.
“Dalam perlawanan itu, terdapat lebih daripada enam pemain import berada di atas padang, termasuk tujuh dalam kesebelasan utama. Mengapa kemenangan tidak ditarik balik jika peraturan dilanggar?” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang sekatan atau tindakan yang dikenakan di peringkat antarabangsa sepatutnya memberi kesan kepada liga domestik, termasuk Liga Super Malaysia.
Dalam masa sama, Molina menjelaskan bahawa kenyataannya merujuk kepada badan pengelola bola sepak Malaysia, dan bukan secara khusus menuduh JDT terlibat dalam sebarang salah laku seperti pemerdagangan pemain.
Bagaimanapun, perkembangan ini mencetuskan persoalan dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan mengenai ketelusan dan penguatkuasaan peraturan oleh pihak berkuasa liga, khususnya jika benar berlaku pelanggaran yang boleh memberi kelebihan tidak adil kepada sesebuah pasukan.
Sekiranya dakwaan tersebut mempunyai asas, Negeri Sembilan berpotensi untuk menuntut semakan semula keputusan perlawanan, termasuk kemungkinan diberikan tiga mata kemenangan.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahupun pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung isu berkenaan.



