Berita

Negeri Sembilan tubuh NeSCOM urus bencana banjir

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menubuhkan Negeri Sembilan Command Center (NeSCOM) yang merupakan pusat koordinasi maklumat dan logistik bagi pengurusan bencana negeri.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, NeSCOM diwujudkan susulan kejadian banjir besar yang berlaku pada penghujung tahun 2021 membabitkan beberapa daerah khususnya Jelebu dan awal tahun 2022 membabitkan Tampin, Jempol dan Kuala Pilah dengan 96 lokasi keseluruhannya.

“Ia mendapat kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri di bawah keurussetiaan Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan yang melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Meteorologi.

“Data yang dikumpulkan seperti paras air sungai, tanah runtuh, keadaan jalan, ramalan cuaca dan sebagainya akan dipaparkan di NeSCOM bagi tujuan kesiapsiagaan menghadapi bencana,” katanya.

Aminuddin berkata, peruntukan sejumlah RM350,000 telah diluluskan di bawah Bajet Pembangunan Tahun 2022 bagi menaik taraf bangunan sedia ada yang dahulunya merupakan Rumah Kelab SUK yang kini dijadikan sebagai NesCOM.

“Kerajaan Negeri Sembilan juga telah menambah aset penyelamatan iaitu tiga buah bot dengan peruntukan RM110,000,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button