KUALA PILAH: Negeri Sembilan Football Club (NSFC) dan Kolej Yayasan Negeri Sembilan berganding bahu bagi memastikan pemain bola sepak mempunyai masa depan dalam kerjaya.
Justeru itu, seramai 24 pemain Piala Belia B-18 mendaftar masuk ke Kolej Yayasan Negeri Sembilan di Gentam, Kuala Pilah.
Pengarah Yayasan Negeri Sembilan (YNS), Dato’ Nazri Kassim berkata, 24 pemain ini akan bermain bola sepak untuk pasukan Negeri Sembilan FC dan pada masa yang sama, menjalani pembelajaran Sijil Kemahiran Malaysia (Automotif/Elektrik) Tahap 2 sehingga awal tahun hadapan.
“Usahasama sedemikan merupakan kali pertama dilakukan di antara KYNS dan NSFC bagi memberi nilai tambah kepada laluan kerjaya pemain,” katanya.
Piala Belia akan bermula pada April sehingga Oktober 2024.
Negeri Sembilan FC diundi di dalam Kumpulan A bersama Selangor FC, Sabah FC, Perlis United, Melaka FA, Kelantan Darul Naim FC, Kelantan FA, Sri Pahang FC, dan KL City FC.
Ketua Eksekutif KYNS, Tuan Mohd Asyraf Amin dan Pengarah Teknikal Negeri Sembilan FC, Effendi Abdul Malek turut hadir bagi menyampaikan taklimat kepada ibu bapa dan pemain.