MenarikProgram

Pastikan dokumen lengkap, jika tidak mahu permohonan gagal

SEREMBAN: Sedia maklum, Kerajaan Negeri Sembilan melakar prestasi cemerlang dengan meraih kutipan hasil sebanyak RM541.3 juta atau 20.3 peratus melebihi RM450 juta yang disasarkan tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit kepayang, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, Kerajaan Negeri telah melancarkan beberapa Inisiatif Baru Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan di bawah Belanjawan 2024 Negeri Sembilan yang merangkumi pendidikan dan modal insan serta kesejahteraan rakyat terbanyak.

Antara yang terbaru adalah:

– Inisiatif Baharu Warga Emas

– Inisiatif Baharu Bayi dan Kanak-kanak

– Inisiatif Baharu Bantuan Perkahwinan Belia

– Inisiatif Baharu Lesen Motosikal B40

– Inisiatif Bantuan Khas Kemasukan IPT Siswa (sejak tahun 2018)

Di sebalik setiap inisiatif yang diperkenalkan, sering kali terdapat beberapa masalah berbangkit berkaitan proses pendaftaran di mana syarat-syarat kelayakan permohonan gagal dipatuhi dan antaranya:

– Pemohon mestilah pengundi berdaftar di Negeri Sembilan

– Pemohon mestilah bermastautin/menetap di Negeri Sembilan

– Pendapatan bulanan tidak melebihi RM4,000.00

“Selain itu, adalah menjadi peranan Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Kepayang (atau lain-lain DUN) untuk membantu dalam memudahkan urusan pendaftaran penduduk di kawasan setempat.

“Namun, sering juga berlaku beberapa masalah sukar dalam kelulusan permohonan atau gagal melakukan permohonan hanya disebabkan dokumen tidak lengkap atau beberapa kriteria permohonan yang gagal dipatuhi.

“Suka untuk saya mengingatkan agar orang ramai datang ke Pusat Khidmat dengan berbekalkan dokumen yang mencukupi seperti berikut:

1) Salinan MYKAD pemohon (berwarna)
2) Salinan MYKAD pasangan pemohon (berwarna)
3) Salinan MYKAD setiap anak pemohon (berwarna atau hitam putih)
4) Salinan bil TNB dan SAINS
5) Salinan borang pengesahan pendapatan / slip gaji / slip pencen
6) Salinan muka depan penyata bank

“Sekali lagi saya menyeru orang ramai agar menyemak setiap dokumen yang disenaraikan agar berada dalam keadaan yang lengkap sebelum ke Pusat Khidmat Rakyat DUN supaya urusan pendaftaran menjadi lebih singkat dan mudah,” jelas Nicole Tan.

Nicole Tan berkata, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri serta ini merupakan peluang untuk memberi nikmat kepada rakyat dalam memacu pembangunan negeri serta mensejahterakan rakyat.

“Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Kepayang juga akan mengambil tanggungjawab lebih dalam kerja-kerja menghebahkan inisiatif-inisiatif tersebut kepada penduduk melalui pelbagai saluran seperti media sosial, hebahan awam serta lain-lain bagi memastikan setiap rakyat mendapat laba dari limpahan ekonomi ini.

“Kami juga dalam proses untuk menyusun jadual untuk membuka kaunter ekspres di lapangan seperti beberapa pasar malam atau beberapa kawasan tumpuan orang ramai bagi tujuan hebahan dan membantu orang ramai dalam urusan pendaftaran inisiatif-inisiatif tersebut,” ujar Nicole Tan lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button