Berita

Penantian 15 tahun pembeli rumah di Taman Perpaduan Heights berakhir

KUALA PILAH: Projek terbengkalai sejak 2006 yang membelenggu 206 pembeli rumah di Taman Perpaduan Heights berakhir, apabila Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan bersetuju memberikan sebidang tanah kepada setiap pembeli.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, di awal Kerajaan Pakatan Harapan diberi mandat, beliau didatangi oleh wakil pembeli yang memohon agar permasalahan ini dapat diselesaikan oleh Kerajaan Negeri.

Pada 18 September 2019, Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan cadangan penyelesaian iaitu pemberimilikan tanah lot kepada 206 pembeli rumah projek perumahan terbengkalai Taman Perpaduan Heights berkeluasan 32.84 ekar dan penyediaan kemudahan infrastruktur oleh Kerajaan Negeri dengan anggaran implikasi kewangan berjumlah RM5.5 juta.

“Kerajaan Negeri memberikan sebidang tanah kepada setiap pembeli dengan ukuran 3,000 hingga 5,000 kaki persegi di Juasseh mengikut jenis rumah yang dibeli.

“Kerajaan Negeri juga akan menyediakan kemudahan asas seperti jalan, longkang dan paip air manakala para pembeli bertanggungjawab membangunkan lot sendiri sama ada melalui Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) atau kaedah lain,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Pengundian Lot Tapak Perpaduan Heights di Dewan Dato’ Bahaman, Kuala Pilah pada petang Jumaat.

Pada majlis yang sama, Aminuddin turut menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah ‘Kempen Jom Bayar Cukai Tanah 2021’ yang dianjurkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah.

“Kempen ini diadakan dengan tujuan menggalakkan rakyat menjalankan tanggungjawab membayar cukai pada waktunya.

“Semoga kempen seperti ini diteruskan agar rakyat sentiasa bersemangat dalam menjalankan tanggungjawab mereka,” ujar Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

Show More

Related Articles

Back to top button