BeritaKolumnis

Pendidikan nadi kejayaan Malaysia Madani

Dr.Jufitri Joha

Perjuangan memandaikan anak bangsa melalui pendidikan merupakan perjuangan yang sangat sinonim dan dekat dengan Perdana Menteri Ke-10, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim; sejak zaman mudanya sehingga beliau dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Seawal Mac 1971, beliau dan teman-teman siswazah tempatan telah pun menubuhkan Yayasan Anda Akademik bagi menyediakan peluang belajar kepada pelajar dari sekolah bantuan penuh kerajaan yang tidak bernasib baik untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Dato’ Seri Anwar telah menggagaskan sebuah wawasan dan gagasan (WAGAS) yang sangat penting untuk memacu pembangunan masa depan negara dan rakyat Malaysia iaitu Malaysia Madani di mana WAGAS ini berhasrat memastikan pembangunan yang seimbang antara pembangunan fizikal dan pembangunan nilai.

Secara ringkasnya, beliau mahu bangunkan manusia dan kemanusiaan iaitu Malaysia yang makmur dengan rakyatnya mempunyai akhlak manusiawi yang tinggi.

Tidak hairanlah dokumen Falsafah Pendidikan Negara bagi melahirkan insan seimbang digubal ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan.

Dato’ Seri Anwar yakin dan konsisten bahawa agenda besar ini tidak akan terealisasi melainkan dengan menjadi agenda pendidikan sebagai terasnya.

Justeru ITU, bagi menggalaskan amanah yang berat ini, beliau telah mentaklifkan menteri pendidikan kepada anak kepada tokoh pendidikan dan kemasyarakatan terkenal iaitu YB Fadhlina Siddiq Fadzil.

Dato’ Seri Anwar turut mencatat sejarah apabila memperuntukkan peruntukkan terbesar untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Belanjawan 2024 iaitu mencecah RM58.7 bilion.

Dato’ Seri Anwar turut memahami agenda pendidikan di sekolah tidak akan berjalan lancar jika persoalan asas seperti kemudahan tandas yang rosak tidak ditangani.

Justeru itu, beliau mengambil tindakan yang pastinya akan diingati oleh warga pendidikan apabila memberikan peruntukkan segera membaiki tandas sekolah dan Menteri KPM lantas menyalurkan RM70,000 untuk setiap sekolah bagi membaiki tandas yang rosak dalam tempoh tiga bulan.

Tindakan praktikal ini merupakan manifestasi yang sangat jelas bahawa pembinaan sebuah tamadun yang hebat bermula dengan pendidikan di sekolah dan sekolah yang hebat bermula dengan kemudahan asas tandas yang bersih dan elok.

Dengan amanah yang digalaskan kepada pundak YB Fadhlina oleh Dato’ Seri Anwar, ia memberikan satu penanda aras yang berat untuk dibuktikan oleh YB Fadhlina untuk tempoh setahun ini.

YB Fadhlina yang sangat menjiwai Malaysia Madani dan aspirasi Dato’ Seri Anwar tidak mengambil masa yang lama untuk menghadam dan merealisasikan Malaysia Madani melalui pendidikan.

YB Fadhlina sejak hari-hari awal beliau di KPM telah mula memperkenal dan merealisasikan konsep karamah (kemuliaan) insaniah dan pendidikan manusiawi.

Sejurus mengangkat sumpah, dalam sidang media pertamanya, beliau telah berikrar untuk memastikan persekitaran murid yang ceria, guru bahagia dan sekolah bitara.

Pembinaan karakter murid menjadi agenda utama beliau selaras dengan matlamat pendidikan untuk melahirkan insan yang seimbang.

Pendidikan juga dijadikan suatu agenda yang dapat diakses oleh semua rakyat Malaysia tanpa seorang pun tertinggal sebagai prasyarat kecemerlangan pada masa hadapan sebagaimana yang diungkapkan oleh aktivis kulit hitam terkenal Amerika, Malcolm X, “Education is the passport to the future, for tomorrow belongs to those who prepare for it today.”

Menjadi Menteri KPM bukanlah suatu perkara yang mudah kerana harapan dan tekanan yang tinggi didambakan oleh rakyat Malaysia. Mata rakyat Malaysia sering tertumpu kepada Menteri KPM.

Namun dalam tempoh setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani, YB Fadhlina telah dilihat kehadapan mengambil inisiatif meluaskan sekolah model khas komprehensif (K9) dan pelaksanaan sekolah model khas komprehensif (K11) bagi menangani isu keciciran murid sewaktu transisi dari Tahun Enam ke Tingkatan Satu dan mengurangkan kadar keciciran murid sewaktu transisi dari peringkat pendidikan menengah rendah ke peringkat menengah atas terutamanya dalam kalangan pelajar Orang Asli atau Orang Asal dan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Selain itu, YB Fadhlina tekad menggandakan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi membekalkan makanan berkhasiat kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan sekaligus menggalakkan kehadiran mereka ke sekolah.

Setakat awal November 2023, program ini telah memanfaatkan 762,244 orang murid melebihi bilangan sasaran 700,000 orang murid yang ingin dicapai oleh KPM pada tahun 2023.

45 projek ubah suai dan naik taraf sekolah daif pada tahun 2023 merupakan satu lagi agenda utama YB Fadhlina selaras dengan hasrat Dato’ Seri Anwar.

Ia bagi memastikan keselesaan dan keselamatan murid dan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Di sebalik kekangan pendapatan negara dan kekurangan yang ada, Dato’ Seri Anwar dan Kerajaan Malaysia Madani tetap memberikan fokus dan peruntukkan belanjawan yang signifikan kepada agenda pendidikan negara kerana pendidikan dan pembinaan karakter anak bangsa dengan nilai-nilai luhur watani telah menjadi sebati dalam darah daging perjuangan beliau semenjak muda bagi mengangkat kemuliaan insaniah.

Ia bukan sekadar retorik tetapi penjiwaan dan perjuangan perlaksaan kata-kata.

Pastinya empat tahun mendatang, isu prasarana asas sekolah dan mutu pendidikan akan terus menjadi keutaman pentadbiran Dato’ Seri Anwar.

 

Dr.Jufitri Joha

Perunding Unit Pembangunan Insan (UPI) Yayasan Negeri Sembilan.

Kredit Foto: Quora.com, reuters

Show More

Related Articles

Back to top button