Berita

Pertimbang semula waktu operasi Bazar Aidilfitri, galak rakyat tunaikan ibadah Tarawih

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mencadangkan agar waktu operasi perniagaan sepanjang bulan Ramadan dipertimbangkan semula bagi memastikan keselesaan peniaga, pekerja dan pengunjung selain memberi ruang kepada umat Islam menunaikan ibadah solat Isya’ dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun berkata demikian ketika sidang media pasca mesyuarat  Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, Negeri Sembilan disini.

Menurut beliau, kajian semula waktu operasi wajar dilaksanakan bagi memberi ruang yang lebih seimbang kepada semua pihak untuk menunaikan ibadah sepanjang bulan Ramadan.

“Saya mencadangkan supaya waktu operasi ini dikaji semula bagi memberi ruang kepada peniaga, pekerja dan pengunjung untuk menunaikan solat Isya’ dan solat sunat Tarawih secara berjemaah. Walaupun ia tidak diwajibkan, namun ibadah Tarawih hanya dapat dilaksanakan setahun sekali sepanjang bulan Ramadan dan wajar kita galakkan pelaksanaannya,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kebiasaannya solat sunat Tarawih berakhir sekitar jam 10.30 malam dan individu memerlukan masa untuk pulang, berehat atau bersiap sebelum meneruskan aktiviti masing-masing.

Sehubungan itu, sedikit kelonggaran dari segi masa dilihat amat penting bagi memastikan suasana Ramadan dapat dihormati serta dihayati dengan lebih baik.

Datuk Seri Utama Aminuddin berkata, kehadiran pengunjung ke kawasan tumpuan seperti Senawang bukan sahaja melibatkan penduduk tempatan malah turut menarik pengunjung dari seluruh Negeri Sembilan serta negeri jiran seperti Selangor dan Melaka.

Tambah beliau, sekiranya waktu operasi terlalu terhad contohnya hanya sehingga jam 12 tengah malam, ia berkemungkinan kurang menarik minat pengunjung untuk hadir. Namun demikian, kehadiran pengunjung juga merupakan faktor penting dalam menentukan waktu operasi sebenar.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dapat meneliti dan membuat kajian semula berkaitan perkara ini demi kesejahteraan semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan peniaga dan pengunjung supaya mendahulukan ibadah solat sunat Tarawih secara berjemaah sebelum meneruskan aktiviti masing-masing sepanjang bulan Ramadan.

Show More

Related Articles

Back to top button