Kolumnis

Hilangnya hak dan kebebasan rakyat

Mohd Fauzi Fadzil: Hak setiap rakyat Malaysia adalah perkara kedua yang dibincangkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan hak rakyat Malaysia di dalam dokumen itu telah terpelihara dengan termaktubnya Perkara 5 (Kebebasan Asasi) pada Bahagian 2 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara yang sangat penting ini dibincangkan mendahului semua perkara lain sama ada kuasa Kerajaan Persekutuan (kedudukan Ketua Utama Negara, Majlis Raja-Raja atau badan eksekutif).

Hak setiap rakyat Malaysia dalam bentuk kebebasan asasi mendahului semua perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan, perkara ini membawa isyarat bahawa setiap keputusan di dalam Malaysia perlu mendahulukan hak dan kebebasan setiap rakyat Malaysia untuk membuat pilihan.

Namun kini semangat yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan kelihatan tidak dihormati oleh badan eksekutif, secara khususnya oleh Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau yang secara terang dan angkuh menyatakan bahawa beliau selaku menteri bertanggungjawab akan ‘menyusahkan’ kehidupan harian golongan yang tidak mahu menerima vaksin Covid-19.

Beliau sedar bahawa vaksin Covid-19 tidak diwajibkan oleh mana-mana undang-undang ke atas rakyat Malaysia, namun polisi kementerian yang beliau terajui menutup ruang untuk rakyat Malaysia mengamalkan kebebasan asasi yang telah terpelihara oleh Perlembagaan Persekutuan.

Malah mantan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengilhamkan Program Vaksinasi Covid-19 telah memberi janji bahawa kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk mewajibkan pemberian vaksinasi Covid-19 di Malaysia. Kini Menteri Kesihatan Malaysia bertindak melebihi suara dan keputusan mantan ketuanya.

Kebebasan asasi rakyat Malaysia terus dicabar apabila Datuk Nadzim Johan mewakili Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan keputusan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak membenarkan rakyat Malaysia yang tidak menerima vaksin Covid-19 secara penuh supaya dihalang mengundi pada Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka iaitu pada 20 November 2021.

Namun keputusan tersebut ditarik balik oleh SPR, usaha yang dilakukan oleh NGO yang mewakili rakyat seperti PPIM perlu dipuji kerana tanpa suara lantang untuk menemplak badan eksekutif maka perkara-perkara yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan akan dikesampingkan.

Badan eksekutif juga kelihatan tempang dalam isu vaksin Covid-19 apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan bahawa individu yang gagal menghadiri temu janji tarikh pemberian suntikan vaksin Covid-19 tanpa sebarang alasan kukuh bakal berdepan dengan tindakan, perbuatan itu dianggap sebagai kesalahan dari sudut undang-undang.

Namun perbuatan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang tersenarai untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, memutuskan untuk memberi giliran vaksinasi itu kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia terlepas begitu sahaja tanpa sebarang tindakan.

Ketempangan ini memberi gambaran bahawa kebebasan asasi untuk rakyat Malaysia hanya dijamin untuk sesetengah golongan sahaja, kehidupan rakyat marhaen tidak terpelihara apabila mereka membuat keputusan untuK menolak vaksin Covid-19.

REFORMASI!!!!

Mohd Fauzi Fadzil
Pengerusi Tetap Angkatan Muda KeADILan (AMK) Cabang Pandan

 

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menyatakan pendirian Negeri Kita

https://www.europeanpharmaceuticalreview.com

Show More

Related Articles

Back to top button