
SEREMBAN: Pembinaan Plaza Tol Labu pada tahun hadapan bakal memendekkan masa perjalanan pengguna Lebuhraya Utara Selatan ke KLIA, Bandar Enstek dan Malaysia Vision Valley (MVV), khususnya dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, projek pembinaan susur keluar dan susur masuk itu akan menghubungkan Lebuh Raya Utara Selatan dengan Jalan Nilai – Labu – Bandar Enstek (NLE) yang sedang dalam proses pembinaan.
“Apabila projek ini siap, pengguna boleh terus menggunakan susur baharu itu dan laluan NLE untuk menghala ke KLIA dan Malaysia Vision Valley, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Pengguna kenderaan dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor tidak perlu lagi menempuh perjalanan yang lebih jauh menerusi Lebuh Raya ELITE untuk pergi ke KLIA.
“Berita baik kerana projek ini juga akan memendekkan masa perjalanan penduduk sekitar Labu, Bandar Enstek, Bandar Sri Sendayan, Gadong Jaya dan Malaysia Vision Valley ke Kuala Lumpur, Melaka dan Johor,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata, kos pembinaan projek ini akan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.
“Projek pembinaan NLE sepanjang 18 kilometer itu pula, sedang rancak dibina dan dijangka siap pada Julai 2026.
“NLE bermula di Nilai dan merentasi Lebuh Raya Utara Selatan menerusi sebuah ‘flyover’ di kawasan Labu dan akan berakhir di Bandar Enstek.
“Susur keluar dan susur masuk serta Plaza Tol Labu yang akan dibina nanti akan bercantum dengan NLE,” jelas beliau.
Aminuddin mengumumkan berita baik ini semasa Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri sebentar tadi.

COVER PHOTO: Ilustrasi AI



