PPDK Jempol diperkukuh melalui seminar tadbir urus dan kewangan

JEMPOL: Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim telah merasmikan Majlis Pembukaan Program Seminar Pengukuhan Tadbir Urus dan Kewangan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Daerah Jempol 2026 yang diadakan bagi memperkukuh aspek pengurusan dan integriti institusi berkenaan.
Noorzunita berkata, majlis tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman dan pematuhan terhadap garis panduan tadbir urus serta pengurusan kewangan yang lebih sistematik dan telus.
“Penganjuran seminar oleh PPDK Palong 6 itu amat signifikan dalam memastikan tadbir urus dan pengurusan kewangan dilaksanakan dengan penuh integriti, ketelusan dan amanah demi kepentingan anak-anak orang kurang upaya (OKU).
“Pengurusan kewangan yang baik bukan sekadar melibatkan aspek angka dan laporan semata-mata, sebaliknya mencerminkan tahap kebertanggungjawaban dalam mengurus dana awam dan sumbangan yang diterima.
“PPDK merupakan institusi yang dekat di hati masyarakat kerana di sinilah anak-anak istimewa dibimbing untuk berdikari serta membina keyakinan diri.
“Justeru, setiap peruntukan dan sumbangan perlu diurus secara teratur agar dapat dimanfaatkan secara optimum,” katanya.

Beliau berharap seminar berkenaan menjadi titik tolak kepada pengurusan yang lebih cemerlang, telus dan berdaya maju, sekali gus memperkukuh kredibiliti PPDK Daerah Jempol pada masa hadapan.
Dalam masa sama, beliau menyeru agar semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat terus berganding bahu menyokong usaha murni berkenaan demi kebajikan golongan OKU serta kesejahteraan keluarga mereka.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Tuan Hj. Mohd Yusry Che Dah; Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Jempol, Puan Intan Norlaila Abdul Rashid serta Timbalan Pengerusi PPDK Palong 6, Puan Mazita Md Som.



