PPR Ladang Tanah Merah akan diduduki sebelum Jun ini
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah menerima 221 permohonan daripada pekerja-pekerja ladang di sekitar PPR Ladang Tanah Merah yang berminat untuk menduduki PPR ini.
Justeru itu, Kerajaan Negeri perlu menjalankan proses saringan berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN) sebelum mengemukakan senarai permohonan yang layak kepada jabatan ini.
Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong berkata, pengisian PPR ini dijangka akan diselesaikan sebelum Jun 2023.
“PPR Ladang Tanah Merah (Desa Tanjung) merupakan program PPR yang akan diuruskan di bawah skim PPR Sewa-Untuk-Milik atau Rent-To-Own (RTO).
“Harga jualan bagi unit-unit PPR ini adalah berjumlah RM40,000 dengan kadar faedah sebanyak tiga peratus setahun dikenakan kepada peserta PPR ini untuk tempoh RTO berkenaan.
“Tempoh tawaran RTO maksimum bagi PPR ini adalah 20 tahun di mana peserta PPR dibenarkan untuk membeli unit-unit berkenaan pada tahun ke-6, ke-11 dan ke-16,” kata Teo.
Teo berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, YB Dato’ Michael Yek Diew Ching di Persidangan Kelima Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-14 pada Isnin.
PPR Ladang Tanah Merah terdiri daripada 100 unit rumah teres setingkat yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 20 ekar di Port Dickson.
PPR yang dibangunkan ini turut menyediakan fasiliti kemudahan seperti dewan serbaguna, tadika dan taska, surau, medan selera dan taman permainan.
Sijil Perakuan Siap Kerja (CCC) bagi PPR ini adalah pada 29 Disember 2022 dan PPR ini telah diserahkan kepada Jabatan Perumahan Negara (JPN) pada 5 Januari 2023.