SIKAMAT: Program Qiamullail bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun di Masjid Dato’ Klana Petra Lela atau dikenali sebagai Masjid Sikamat menerima sambutan luar biasa daripada penduduk setempat.
Dianggarkan hampir 500 orang jemaah yang hadir untuk mengikuti program tersebut yang bermula pada jam 1:00 pagi sehingga 7:00 pagi tadi.
Lebih mengejutkan, separuh daripada jumlah tersebut adalah golongan anak muda.
Ketua Biro Belia dan Remaja Masjid Sikamat, Mohd Saiful Ridzuan Jasmin berkata, pihak masjid turut mengambil inisiatif membuat penyertaan terbuka kepada golongan belia.
“Inisiatif tersebut diambil bagi memberi pengalaman kepada mereka untuk merasai iktikaf di masjid.
“Mereka juga berpeluang melakukan qiamullail bersama dengan Menteri Besar.
“Saya lihat anak muda kelihatan seronok dan gembira apabila program seperti ini diadakan,” kata Mohd Saiful.