BeritaMenarik

Projek KVDT 2 bakal pendekkan masa perjalanan komuter Seremban – KL

Masa perjalanan Seremban ke KL kurang sejam

SEREMBAN: Projek naik taraf Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) bakal memendekkan masa perjalanan komuter dari Seremban ke Kuala Lumpur (KL) apabila dijangka siap pada penghujung tahun 2025.

Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, YB J.Arul Kumar berkata, pelaksanaan projek ini dapat meningkatkan mutu dan keselamatan perkhidmatan kereta api terutama untuk kereta api komuter.

“Buat masa ini perkhidmatan Komuter dari Seremban ke KL mengambil masa melebihi satu jam 15 minit.

“Dengan pelaksanaan projek ini tempoh masa tersebut dapat dipendekkan kepada tidak melebihi satu jam dan ia juga dapat membantu meningkatkan kekerapan dan mengurangkan masa menunggu.

“Ia juga sekaligus dapat menjimatkan masa yang dihabiskan di atas jalan akibat kesesakan lalu lintas yang berlaku setiap hari di Lembah Kelang, kata Arul Kumar.

Arul Kumar berkata demikian kepada Negeri Kita selepas beliau dan Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menerima kunjungan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Dato’ Jana Santhiran Muniayan dan barisan pengarah syarikat DMIA-LTAT di Wisma Negeri.

Arul Kumar berkata, MOT dan syarikat DMIA-LTAT sedang melaksanakan projek KVDT 2 di Negeri Sembilan termasuk menaik taraf dan membina semula beberapa stesen KTM.

“Projek KVDT2 melibatkan penggantian landasan kereta api berusia 25 tahun dengan landasan baharu, menaik taraf dan menyelenggara sistem elektrik, komunikasi dan menambah baik stesen-stesen kereta api terbabit melibatkan landasan dari Salak Selatan ke Seremban.

“Projek itu penting kerana terdapat beberapa lokasi di jajaran KVDT2 yang kerap mengalami banjir, sekali gus menjadi faktor kepada kejadian kegelinciran kereta api.

“Saya juga berharap projek KVDT2 dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan dan dengan menawarkan perkhidmatan keretapi yang berkualiti dan lebih ramai penduduk di Seremban dapat menggunakan perkhidmatan keretapi ke Lembah Kelang setiap hari,” jelas beliau.

 

* KDVT – Klang Valley Double Tracking Phase 2

Show More

Related Articles

Back to top button