BeritaMenarik

Negeri Sembilan yang pertama sedia Pelan Pengurusan Kewangan MADANI

PORT DICKSON: Negeri Sembilan merupakan negeri yang pertama menyediakan Pelan Pengurusan Kewangan MADANI bagi mendukung gagasan Malaysia MADANI.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri bertekad untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai model sebuah negeri maju yang bersatu padu, bertoleransi, saling hormat menghormati, bertamadun, ekonomi yang mampan dan kehidupan rakyat aman makmur dan sejahtera.

“Natijahnya, dapat dilihat kepada usaha Kerajaan Negeri melalui pencapaian hasil pelaburan melebihi RM5 bilion setiap tahun dengan rekod pelaburan tertinggi pada tahun 2022 berjumlah RM8.9 bilion.

“Begitu juga dengan kejayaan mencapai sifar miskin tegar pada 21 Disember 2023 iaitu sebelum berakhirnya tahun 2023 melibatkan seramai 3,530 Ketua Isi Rumah (KIR).

“Kejayaan ini adalah bukti dari hasil kolaborasi stategik yang baik antara agensi Persekutuan dan Negeri dengan pengukuhan peranan penjawat awam selaku jentera utama sebuah kerajaan sangat penting dalam membantu pembangunan negara atau negeri termasuk dari segi ekonomi, sosial dan kelestarian alam,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Makan Malam Mesyuarat Kementerian Kewangan Malaysia Bersama Kerajaan-Kerajaan Negeri Bil 1/2024 di Hibiscus Lexis Port Dickson.

Aminuddin juga merakamkan terima kasih di atas pemilihan Negeri Sembilan sebagai tuan rumah dalam mengadakan Mesyuarat Kementerian Kewangan Malaysia bersama Kerajaan-Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan atas peningkatan pemberian kepada semua Kerajaan Negeri daripada RM 8.81 bilion pada tahun 2023 berbanding pada awalnya RM 8.3 bilion pada tahun 2023 antaranya pemberian TAHAP, MARRIS dan Ecological Fiscal Transfer (EFT),” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

Show More

Related Articles

Back to top button