Berita

HSR: Loke minta kerajaan umum jumlah pampasan kepada Singapura

Siapkan projek sedia ada dalam kadar yang segera seperti MRT3 di Lembah Klang

1. Pada 01 Januari 2020, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura telah mengumumkan bahawa Perjanjian Dua-Hala (Bilateral Agreement) untuk Projek High Speed Rail Kuala Lumpur – Singapura (HSR) telah ditamatkan secara mutlak selepas cadangan Kerajaan Malaysia untuk meminda struktur projek tersebut tidak dipersetujui oleh Kerajaan Singapura.

2. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Mustapa Mohamed mengakui bahawa kedudukan kewangan Kerajaan Malaysia pada masa kini tidak mampu untuk menampung kos projek tersebut sekiranya mengikut cadangan asal yang ditandatangani pada tahun 2016.

3. Oleh kerana pihak Malaysia yang tidak dapat melaksanakan obligasi perjanjian asal, maka ini bermaksud Kerajaan Malaysia perlu membayar pampasan kepada pihak Singapura. Kerajaan Malaysia mesti mengambil tindakan yang telus dalam perkara ini dan mengumumkan kepada rakyat jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada pihak Singapura dan jumlah keseluruhan kos yang telah dibelanjakan oleh Syarikat MyHSR yang ditanggung oleh wang pembayar cukai sejak tahun 2016.

4. Semasa era Pakatan Harapan, semua kos yang dibayar kepada pihak Singapura susulan penangguhan projek HSR dan RTS diumumkan secara telus. Kerajaan PN pada hari ini tidak boleh menyembunyikan sebarang maklumat tersebut.

5. Dato Seri Mustapa Mohamed juga mengatakan bahawa kerajaan akan mengkaji kemungkinan meneruskan projek HSR secara domestik iaitu tidak menyambung ke Singapura. Sekiranya jajaran yang dimaksudkan ialah di antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru, ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak perlu diteruskan.

6. Ini kerana, jajaran KL-JB sudah mempunyai landasan keretapi sedia ada. Projek yang sedang dilaksanakan ialah membina landasan berkembar di antara Gemas ke Johor Bahru yang melibatkan kos sebanyak RM10 billion. Projek ini dijangka siap pada tahun 2022.

7. Apabila landasan berkembar ini disiapkan, ia bermaksud landasan berkembar sedia ada ialah di antara Padang Besar di utara menyambung terus ke Johor Bahru di selatan. Perkhidmatan ETS yang dikendalikan oleh KTMB akan ditawarkan kepada orang ramai.

8. Walaupun ETS tidak secepat HSR, namun pada hemat saya ia memadai untuk perkhidmatan domestik. Kerajaan cuma perlu memperuntukkan tren yang secukupnya untuk menambah kekerapan perkhidmatan.

9. Saya berpendapat bahawa dengan keputusan muktamad untuk membatalkan HSR di antara KL dan Singapura telah dibuat, maka fokus kerajaan seharusnya ditumpukan kepada menyiapkan projek sedia ada dalam kadar yang segera dan menambah kapasiti KTMB dalam pengendalian kargo melalui tren serta projek-projek pengangkutan awam yang lain seperti MRT 3 di Lembah Klang, BRT di Johor Bahru dan sebagainya.

YB Loke Siew Fook
Mantan Menteri Pengangkutan
Ahli Parlimen Seremban

 

Foto: Facebook Loke Siew Fook

Show More

Related Articles

Back to top button