Berita

RM12.4 bilion untuk pembangunan desa, Zahid tegaskan sinergi Kerajaan Persekutuan – Kerajaan Negeri

IPOH: Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus menjadi teras utama dalam memastikan agenda pembangunan desa dapat dilaksanakan secara berkesan, tersusun dan memberi impak langsung kepada masyarakat luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri I, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesepakatan kukuh di kedua-dua peringkat kerajaan amat penting bagi memastikan setiap dasar, perancangan dan peruntukan yang disediakan benar-benar diterjemahkan kepada manfaat kepada rakyat.

“Pembangunan desa tidak boleh digerakkan secara bersendirian. Ia memerlukan sinergi yang padu antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri supaya setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih berfokus, cekap dan berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) ke-60 di sini.

Menurut beliau, pendekatan pembangunan desa masa kini perlu bergerak seiring dengan perubahan semasa dan tidak lagi terhad kepada kerangka tradisional semata-mata.

“Aspek seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan awal kanak-kanak, industri halal serta pengurusan bencana kini menjadi sebahagian penting dalam ekosistem luar bandar.

“Justeru, saya meminta Exco-Exco Luar Bandar negeri agar memperkukuh kerjasama rentas jabatan dan mengambil peranan lebih proaktif dalam membangunkan model pembangunan desa yang lebih holistik,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Mengulas mengenai Belanjawan 2026, Ahmad Zahid berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah diperuntukkan sebanyak RM12.4 bilion, dengan RM7.788 bilion dikhususkan untuk pembangunan desa.

“Daripada jumlah itu, RM2.5 bilion diperuntukkan bagi pembinaan dan penyelenggaraan jalan perhubungan desa, manakala RM700 juta bagi bekalan air bersih dan elektrik termasuk pemasangan sistem solar di kawasan pedalaman.

“Ini mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memastikan pembangunan luar bandar yang seimbang dan menyeluruh,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau berkata KKDW akan terus memperkukuh pendidikan awal melalui pembinaan enam Taska dan Tabika KEMAS baharu, selain pembekalan Smart TV kepada 10,800 kelas KEMAS di seluruh negara.

Bagi pemerkasaan ekonomi desa pula, katanya, kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi menyokong syarikat pemula strategik serta menaik taraf 365 premis MARA.

Mesyuarat tersebut turut bersetuju untuk memperluas penggunaan Sistem e-Penghulu Negeri Perak ke seluruh negara sebagai langkah strategik memperkemas tadbir urus dan mempercepatkan proses digitalisasi pentadbiran di peringkat akar umbi.

“Insya Allah, dapatan dan cadangan dasar daripada MEXCLUB ke-60 ini akan menjadi input utama kepada Pelan Strategik KKDW 2026–2030 yang dijadualkan dilancarkan pada Februari tahun hadapan,” katanya.

Beliau yakin, dengan kesepaduan yang mantap antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, pembangunan luar bandar dapat digerakkan secara lebih tersusun, berfokus dan memberi manfaat besar kepada kesejahteraan masyarakat desa di seluruh negara.

 

Show More

Related Articles

Back to top button