Berita

Sedap di mulut, derita di usus

Adik ini datang ke klinik, nampak tenang. Umur baru awal 30-an. Badan nampak sihat, tiada penyakit.

Aduan dia satu sahaja: “Ada darah sikit masa buang air besar.”

Doktor tanya lanjut, “Ada sakit perut memulas?” Tak ada. “Perut kembung atau angin?” Tak ada. “Ada sembelit atau cirit-birit?” Tak ada. Buang air besar macam biasa. “Famili ada sejarah kanser?” Tak ada.

Muda lagi. Tak ada gejala tipikal. Selalunya orang akan anggap ini ‘Buasir’ atau ‘Panas Dalam’.

Tapi bila pemeriksaan lanjut dibuat (kolonoskopi), terkejut. Rupanya ada ketumbuhan di usus besar.

Ini bukan kes terpencil. Statistik perubatan kini menunjukkan kes kanser usus juga ada di kalangan orang muda (bawah 50 tahun).

Jika dilihat trend anak muda kini, hujung minggu sahaja, mesti penuh ‘IG Story’ dengan kawan-kawan pergi “Food Hunting”.

Kejap Korean BBQ, kejap Wagyu bakar atas arang, kejap Mookata. Paling suka, ‘Unlimited Refill’.

Selagi tak muntah, selagi itu tak berhenti makan.

“Alah, muda lagi. Metabolisme tinggi,” katanya.

Apa kaitan daging dan usus?

Bukan nak takutkan, tapi ini apa yang sains beritahu bila kita ambil daging merah dan proses secara berlebihan:

1. Bahaya ‘Hangus’

Bila daging (protein) dibakar pada suhu tinggi sampai garing atau hitam, ia menghasilkan bahan kimia Heterocyclic Amines (HCA) dan Polycyclic Aromatic Hydrocarbons (PAH).

Bahan ini boleh merosakkan DNA dinding usus.

2. Daging Proses (Karsinogen Kelas 1)

Sosej, daging burger, pepperoni. WHO mengklasifikasikan ini sebagai penyebab kanser yang pasti (sama kelas dengan asap rokok). Kandungan nitrat/nitrit di dalamnya merosakkan sel usus.

3. Daging Merah (Red Meat)

Diklasifikasikan sebagai Kumpulan 2A (Mungkin menyebabkan kanser). Makan boleh, tapi kalau hari-hari makan steak tanpa sayur, risiko meningkat mendadak.

Daging tiada serat. Bila makan daging banyak tanpa sayur, masa transit najis jadi lama.

Toksin ‘duduk’ lama dalam usus, meningkatkan risiko radang dan polip.

Pesanan untuk anak muda, kanser usus pada peringkat awal memang ‘SENYAP’. Ia tak tunggu sakit perut guling-guling baru dia nak muncul.

Jangan abaikan darah: Kalau ada darah pada najis, walau setitik, walau tak sakit, sila jumpa doktor. Jangan self-diagnose kata buasir.

Perhatikan juga tanda-tanda lain:

1. Perubahan pola membuang (kejap cirit, kejap sembelit).

2. Darah dalam najis (warna merah terang atau gelap/hitam).

3. Perut rasa tak puas lepas membuang.

4. Berat badan turun tanpa sebab.

Ubah cara makan:

1. Nak ‘Food Hunting’ boleh, tapi berpada-pada. Lebihkan sayur, kurangkan yang charred (hangus).

2. Kurangkan daging merah (disarankan bawah 500g seminggu).

3. Setiap kali makan daging bakar, wajib ambil sayur dan buah. Serat (fiber) bertindak macam ‘penyapu’ untuk bersihkan sisa toksin dalam usus.

Kesihatan usus kita, tanggungjawab kita. Kongsikan maklumat ini. Mungkin ada kawan kita yang tengah alami gejala ini, tapi buat tak tahu.

Show More

Related Articles

Back to top button