SEREMBAN: Sistem mengehadkan tempoh memegang jawatan, mampu memandu kemajuan demokrasi dan ekonomi,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, YB Loke Siew Fook.
Loke berkata, individu yang paling berkuasa tidak boleh memegang jawatan terlalu lama.
“Kerana kuasa ini macam candu. kalau belum dapat kuasa, ianya dikejar. Kalau dah dapat kuasa, tidak mahu lepaskan.
“Banyak kes di seluruh dunia, apabila seorang pemimpin memegang jawatan begitu lama, maka dia akan maha berkuasa.
“Apabila maha berkuasa, maka banyak penyalahgunaan kuasa akan berlaku
“Sebab itu ada cadangan untuk mengehadkan kuasa seseorang pemimpin itu walaupun betapa hebatnya pemimpin itu,” katanya.
Loke berkata demikian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan, membahas usul Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 bagi Perkara 38 mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada dua penggal, pada Khamis.
Loke puji Aminuddin tunai janji manifesto
Loke turut memuji Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun yang berbesar hati membawa pindaan Rang Undang-Undang (RUU) ini.
“Sekiranya RUU ini diluluskan, ia akan mengikat YAB Sikamat (Aminuddin) sendiri kerana kalau mengikut fasal ini, beliau telah pun habis satu penggal.
“Kalau Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Pakatan Harapan menang dan YAB Sikamat dilantik sebagai Menteri Besar, maka itu adalah penggal terakhir sebagai Menteri Besar bagi beliau.
“Pujian harus diberikan kepada Menteri Besar (Aminuddin) kerana berbesar hati mahu menunaikan janji Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan pada PRU-14 yang mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar kepada dua penggal,” kata Loke lagi.
Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 bagi Perkara 38 mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada dua penggal tidak diluluskan susulan tidak mendapat majoriti sokongan dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Seramai 19 ADUN Kerajaan (Pakatan Harapan) mengundi bersetuju dengan usul, 13 ADUN pembangkang (BN) mengundi tidak bersetuju dan empat ADUN tidak hadir.
Foto: Nabil Syafiq