Nilai Universiti tawar biasiswa untuk pelajar B40

Pendidikan Untuk Semua atau Education For All (EFA) adalah inisiatif oleh Nilai Universiti untuk membantu pelajar cemerlang daripada kumpulan B40 yang memenuhi syarat mendapat tempat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Matlamat EFA adalah untuk menyediakan akses awal kepada pendidikan tinggi yang berkualiti dan membantu pelajar mengubah masa depan mereka.
Di bawah inisiatif ini, Nilai Universiti menawarkan 26 program dalam pelbagai bidang di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda termasuk pengurusan dan pemasaran, perakaunan dan kewangan, pengkomputeran, sains kemanusiaan dan sosial, sains gunaan, hospitaliti dan pelancongan serta banyak lagi.
Kelayakan bagi biasiswa ini adalah tertakluk kepada pendapatan bulanan keluarga pelajar yang tidak melebihi RM4,000, serta penyerahan dokumen sokongan yang diperlukan bagi pengesahan pendapatan.
Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr.Azhar Ismail berkata pihak universiti telah menunjukkan komitmen dan kesungguhan dalam menyokong masyarakat melalui tawaran biasiswa, bantuan kewangan, dan penglibatan aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan termasuk bantuan kepada kumpulan B40.
“Kami menawarkan beberapa biasiswa penuh kepada pelajar yang layak antaranya biasiswa untuk lepasan UEC dan biasiswa pelajar cemerlang (High Achiever’s Scholarship).
Sama ada cemerlang dalam akademik atau berjaya dalam pencapaian kokurikulum, kami ada menawarkan biasiswa dan kemudahan kewangan yang lain bagi memenuhi aspirasi pelajar seperti Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum dan Sukan di mana pelajar boleh mendapat pengecualian yuran pengajian sehingga 100 peratus,” katanya.
Selain program tersenarai dalam EFA, Nilai Univeriti turut menawarkan tajaan penuh Diploma Kejururawatan.
Penajaan komprehensif ini, hasil kerjasama dengan rakan industri universiti yang terdiri daripada hospital ternama tempatan dan Singapura meliputi penginapan, elaun, yuran pengajian, dan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.
Inisiatif ini bukan sahaja menghapuskan halangan kewangan bagi bakal pekerja kesihatan, tetapi juga memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk jururawat mahir.
“Kini kriteria kemasukan bagi program Diploma Kejururawatan di Malaysia untuk pelajar lepasan SPM telah dilonggarkan daripada keperluan lima kredit kepada tiga kredit bagi kemasukan pelajar bagi tahun 2025 dan 2026.
Dengan permintaan yang semakin meningkat untuk jururawat, pelajar digalakkan untuk meneroka laluan kerjaya yang berharga ini dan tidak melepaskan peluang yang tersedia di Nilai Universiti,” tambahnya.
Permohonan kemasukan untuk pengambilan Jun 2025 kini dibuka, di mana pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 boleh memohon menggunakan keputusan percubaan.
Bagi program Diploma Kejururawatan, pelajar boleh memohon sekarang bagi kemasukan April 2025.
Mengenai Nilai Universiti
Ditubuhkan pada tahun 1998, Nilai Universiti terus mengekalkan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan tinggi.
Komitmen ini terbukti dengan penarafan lima bintang dalam enam kategori berdasarkan sistem penilaian Quacquarelli Symmonds (QS) Stars Ratings iaitu Pengajaran (Teaching), Kemudahan (Facilities), Kebolehgajian (Employability), Pembangunan Akademik (Academic Development), Keterangkuman (Inclusiveness) dan Kriteria Khusus (Specialist Criteria) bagi program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).
Nilai Universiti juga telah dinilai sebagai ‘Berdaya Saing’ oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dalam Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) 2022, berikutan prestasi cemerlang dalam mengekalkan kualiti dan standard sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi.
Terletak di Nilai, kampus seluas 105 ekar sangat kondusif serta dilengkapi dengan kemudahan rekreasi, asrama dalam kampus, kantin, perpustakaan dan pelbagai kemudahan lain.
Untuk maklumat lanjut mengenai pelbagai program dan biasiswa yang ditawarkan, sila layari www.nilai.edu.my.
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Rosmawahidah Abdul Ghani
Pengurus, Komunikasi Korporat
Nilai University
No 1, Persiaran Universiti
Putra Nilai, Bandar Baru Nilai
71800 Nilai, Negeri Sembilan