Tangki air dan lif rumah pangsa Senawang 2 dinaik taraf, manfaat ratusan penduduk

SEREMBAN JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, Dato’ P. Gunasekaren telah menghadiri lawatan bersama pihak EXCO Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke Rumah Pangsa Senawang 2, Sri Mawar bagi meninjau pelaksanaan projek menaik taraf kemudahan asas di kawasan berkenaan.
Gunasekaren berkata, lawatan tersebut diadakan bagi melihat hasil kerja-kerja menaik taraf tangki air dan sistem retikulasi yang melibatkan Blok A, B, F dan G, selepas kawasan itu menerima peruntukan khusus untuk tujuan berkenaan.
“Menurut makluman, kerja-kerja menaik taraf tersebut telah siap sepenuhnya pada September 2025, sekali gus memastikan sistem bekalan air yang lebih efisien dan selamat kepada penduduk setempat.
“Selain itu, projek penyelenggaraan dan penggantian lif di perumahan strata swasta di bawah peruntukan lebih RM10 juta daripada KPKT bagi tahun 2025 kini sedang dilaksanakan di kawasan berkenaan.
“Inisiatif itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan penghuni, khususnya warga emas dan keluarga yang menetap di aras tinggi,” kata Gunasekaren.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Puan Jamilah serta Pembantu Ahli Majlis MBS.
Gunasekaren turut menambah, komitmen berterusan kerajaan melalui kerjasama dengan KPKT membuktikan kesungguhan dalam memastikan kebajikan dan keselesaan penduduk perumahan strata sentiasa diberi perhatian.
Beliau berharap usaha menaik taraf kemudahan asas seperti bekalan air dan lif itu dapat memberi manfaat jangka panjang serta meningkatkan kualiti hidup komuniti di Rumah Pangsa Senawang 2, Sri Mawar.



