SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha kuari yang melepaskan habuk yang boleh menyebabkan isu pencemaran udara.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, baru-baru ada sebuah kuari di Seremban yang menyebabkan pencemaran udara.
“Justeru itu, saya telah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Daerah dan Tanah menasihatkan pengusaha kuari tersebut menyiram air.
“Walau bagaimanapun tindakan tegas akan diambil sekiranya mana-mana 18 kuari yang beroperasi di Negeri Sembilan melepaskan habuk di udara.
“Ini termasuk tindakan kompaun atau saman dan saya tidak teragak-agak untuk memberi notis penutupan kuari sekiranya kes menyebabkan pencemaran udara tetap berlaku, lebih-lebih lagi pada musim kemarau,” kata Aminuddin di Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco pada Rabu.