Veerapan sumbang RM5,000 kepada Persatuan Silat Jurus Sendi Melayu Cawangan Tampin
REPAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, YB Veerapan Superamaniam telah merasmikan Kejohanan Silat Olahraga Kebangsaan Tampin 2023 dan menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada Persatuan Silat Jurus Sendi Melayu Cawangan Tampin bagi penganjuran aktiviti persatuan tersebut.
Veerapan berkata, kejohanan yang berlangsung selama empat hari di Kompleks Arena Dataran Tampin ini disertai oleh 650 pesilat dan 35 jurulatih perguruan silat.
“Kejohanan ini bukan sahaja pertandingan semata-mata untuk mencari pemenang atau pun siapa yang lebih gagah dan hebat.
“Tetapi objektif utama penganjuran kejohanan ini adalah memupuk dan mencungkil bakat cilik dan baharu dalam silat olahraga untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, seterusnya mewakili negara di satu hari nanti.
“Penganjuran kejohanan seumpama ini mampu memupuk dan meningkatkan semangat juang dan persaingan sihat di kalangan pesilat.
“Disamping itu, ianya juga sebagai satu alternatif untuk menjadikan kejohanan ini sebagai platform bagi menanam sikap bersukan di kalangan anak muda bagi penjagaan kesihatan yang lestari serta mengukuhkan semangat patriotisme yang tinggi,” kata Veerapan.
Veerapan yang juga Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan berkata, sebanyak enam kategori dipertandingkan meliputi 10 kelas antara Putera dan Puteri.
Ini termasuklah Kategori Tunas (berumur tujuh dan lapan tahun), Pra-Dini (sembilan dan 10 tahun), Dini (11 dan 12 tahun), Pra-Remaja (16 dan 17 tahun) dan kKategori Terbuka (18 hingga 40 tahun).
“Sukan adalah sebahagian daripada agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Sukan mampu menjadi wadah penting dalam usaha kita untuk membentuk sebuah masyarakat Malaysia Madani yang harmoni dan bersatu padu.
“Sejak berdekad lamanya, sukan telah mengajar kita untuk menyelami erti perpaduan, bekerjasama dan menanam rasa cinta kepada negara.
“Sukan telah mengikat kita sebagai bangsa yang tebal dengan nilai-nilai kasih sayang. Sukan telah menyatukan kita merentasi garis-garis kaum dan agama,” ujar Veerapan.