BeritaKolumnisMenarik

Palestin sentiasa dekat di hati PMX

MOHD FAUZI FADZIL: Tuduhan biadab tanpa meneliti fakta oleh sesetengah ahli politik yang mempersoalkan pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri (PMX) berkenaan isu sokongan Kerajaan Perpaduan terhadap perjuangan rakyat Palestin adalah sangat dangkal.

PMX secara peribadi telah menghubungi Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh untuk menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan Malaysia kepada rakyat Palestin. Malah Kerajaan Perpaduan bersetuju menyalurkan bantuan RM10 juta kepada rakyat Palestin dan berharap syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan sektor swasta turut menyumbang bagi meningkatkan jumlah bantuan kepada RM100 juta.

Sokongan PMX terhadap perjuangan rakyat Palestin turut dinyatakan tanpa berselindung semasa beliau menghadiri Sidang Puncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan 78th United Nations General Assembly (UNGA).

PMX sentiasa mencari ruang untuk meyakinkan pemimpin dunia supaya menolak kezaliman yang menimpa rakyat Palestin, hasil usaha beliau maka Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) telah menerima resolusi bertajuk Protection of Civilians and Upholding Legal and Humanitarian Obligations. Resolusi tersebut menyokong gencatan senjata segera dan berkekalan antara tentera Israel dan Hamas di Gaza. Malaysia di bawah kepimpinan PMX telah menjadi penaja bersama resolusi tersebut.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghadiri pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Kanada dan seterusnya ke APEC Economic Leaders’ Retreat di San Francisco, Amerika Syarikat, 17 November, 2023. – SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

Sesuatu yang sangat memeranjatkan apabila PMX secara terbuka menyatakan bahawa beliau menerima ugutan dari negara-negara besar kerana ketegasan Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin, namun PMX secara teguh menyatakan bahawa beliau akan terus mempertahankan hak rakyat Palestin selagi diberi mandat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Terdapat juga usaha pihak tertentu yang cuba mengelirukan masyarakat dengan menuduh PMX telah melabelkan Hamas sebagai sebuah organisasi pengganas, namun kenyataan tersebut telah disangkal malah dicabar untuk dibuktikan. Bagaimana mungkin PMX dapat diterimabaik oleh Ismail Haniyeh jika beliau mengeluarkan kenyataan melabelkan organisasi pejuang rakyat Palestine tersebut sebagai pengganas.

Seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia berdiri teguh dibelakang PMX atas segala usaha yang cuba beliau lakukan untuk membantu rakyat Palestin. Pasti usaha yang beliau lakukan tidak sempurna, namun niat murni dan usaha tersebut tidak seharusnya ditohmah dengan tuduhan yang tidak berasas. Kata pepatah Melayu ada menyebut ‘Kalau tak mampu menjadi garam, jangan pula menjadi langau’

Mohd Fauzi Fadzil
Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan
Majlis Belia Malaysia

 

Kredit Foto: Facebook Anwar Ibrahim

Show More

Related Articles

Back to top button