Berita

100 masjid disasar menjadi Pusat Pembangunan Ummah Terbaik menjelang 2024

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan 100 daripada 303 masjid menjadi Pusat Pembangunan Ummah Terbaik menjelang 2024.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, terdapat tujuh aspek yang digariskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bagi merealisasikan sasaran tersebut iaitu:

i. Aspek peningkatan jumlah mereka yang berjemaah di masjid
ii. Pembangunan dakwah dan pendidikan yang berkesan dan menyeluruh
iii. Aspek pembangunan belia dan remaja kariah
iv. Aspek pembangunan wanita dan keluarga kariah
v. Aspek pembangunan sosial dan kebajikan kariah
vi. Aspek pembangunan ekonomi masjid dan ahli kariah
vii. Aspek urus tadbir kewangan dan pengurusan masjid

“Pengerusi masjid perlu berperanan menarik ahli kariah untuk datang ke masjid.

“Santuni ahli kariah sebaiknya sekalipun mereka tidak pernah ke masjid.

“Ajaklah mereka dengan penuh hikmah dan sabar. Insyah Allah satu hari kelak nanti mereka akan terbuka untuk berjemaah di masjid,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian, sewaktu merasmikan Konvensyen Hala Tuju Pengurusan Masjid Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Klana Resort Seremban.

Aminuddin berkata, pandemik Covid-19 yang melanda sedikit sebanyak telah membantutkan usaha mengimarahkan masjid.

“Justeru saya menyeru kepada semua pengerusi agar menjadikan tahun ini sebagai ‘turning point’ dalam menggalakkan kehadiran jemaah ke masjid.

“Insyah Allah, sama-samalah kita berusaha agar hati 665,496 umat islam di Negeri Sembilan ini bertaut hatinya dengan masjid dan surau,” ujar beliau.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button