BeritaProgram

114 pemilik rumah Taman Perpaduan Heights menerima geran hakmilik dari Aminuddin

Kerajaan Negeri beri lot kediaman seluas 3,000 hingga 5,000 kaki persegi

KUALA PILAH: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menyerahkan geran hak milik lot kediaman kepada 114 pembeli rumah Taman Perpaduan Heights yang terbengkalai sejak 16 tahun yang lalu.

Kerajaan Negeri menawarkan tanah seluas 3,000 kaki persegi sehingga 5,000 kaki persegi dengan bayaran premium nominal yang amat rendah iaitu hanya RM1,000 sahaja setiap lot tanah.

“Bukan sahaja bayaran premium nominal tanah yang murah serta tanah yang mempunyai lokasi yang strategik malah kemudahan infrastruktur asas juga dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

“Inisiatif yang setakat ini belum dilaksanakan lagi oleh negeri lain bagi penyelesaian kes projek rumah terbengkalai.

“Ini lah bukti Kerajaan Negeri yang benar-benar prihatin dengan nasib rakyat yang teraniaya melalui pakej penyelesaian yang terbaik telah diberikan,” jelas Aminuddin.

Kerajaan Negeri peruntuk RM5.5 juta sediakan infrastruktur asas

Menurut Aminuddin lagi, kerja-kerja di tapak sedang giat dilaksanakan melalui lantikan kontraktor secara tender terbuka oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri dengan peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM5.5 juta dan kerja-kerja ini dijangka siap pada bulan Ogos 2023 nanti.

Projek ini terbengkalai sejak tahun 2006 dan Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan isu ini dan sentiasa meletakkan kepentingan dan keperluan rakyat sebagai keutamaan dalam apa sahaja dasar yang dilaksanakan selaras dengan slogan Bersih, Muafakat dan Sejahtera.

“Insya Allah, Kerajaan Negeri akan terus memperbanyakkan lagi usaha untuk membantu rakyat negeri dalam apa jua bidang dan diharapkan rakyat negeri terus menaruh kepercayaan kepada Kerajaan Negeri dalam penggal pemerintahan akan datang,” ujar Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button