Aminuddin santuni 769 mangsa banjir Felda Sungai Kelamah
GEMAS: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun melawat 769 mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kelamah malam tadi.
Aminuddin berkata, seramai 769 mangsa daripada 205 keluarga ditempatkan di PPS ini berikutan keadaan banjir yang teruk melanda Felda Sungai Kelamah.
“Seperti PPS yang lain, PPS ini juga dikendalikan oleh agensi kerajaan bagi memelihara kebajikan dan keselamatan mangsa.
“Semua agensi dan jabatan di bawah Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sedang digerakkan bagi membantu mereka yang terjejas banjir di seluruh negeri.
“Saya berharap agar semua pihak terbabit dapat mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agar proses pemindahan serta keselamatan semua pihak terjamin,” kata Aminuddin.
Turut hadir menghulurkan bantuan keperluan mangsa banjir ialah kakitangan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Foto: Nabil Syafiq