SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sedang membangunkan 149 tapak bagi meningkatkan liputan internet dan jalur lebar tanpa wayar 5G di Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, perancangan membina 149 tapak 5G yang bertumpu di kawasan bandar utama di daerah Seremban telah bermula pada suku ketiga tahun 2022.
“Sehingga suku ketiga 2022, sebanyak 56 tapak 5G telah dibangunkan dan siap beroperasi manakala baki sebanyak 93 tapak masih dalam pelaksanaan sehingga penghujung tahun 2022.
“Pelaksanaan pembangunan 5G di kawasan luar bandar pula dirancang akan dilaksanakan bermula pada suku pertama 2023.
“Kerajaan Negeri memberikan kerjasama penuh dalam pelaksanaan rangkaian 5G di Negeri Sembilan melalui kolaborasi strategik yang telah dilaksanakan seperti menyegerakan proses permohonan dan memudahcara kelulusan berkaitan pembangunan 5G bagi memastikan pelaksanaan inisiatif ini dapat berjalan dengan lancar seperti dirancang,” katanya.
Aminuddin berkata demikian di Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14.