Berita

282 skim strata pangsapuri kos rendah terima geran RM1.41 juta

SEREMBAN: Kerajaan Negeri telah mewujudkan inisiatif baru dalam Belanjawan 2022 iaitu pemberian geran kepada Joint Management Body (JMB) atau Management Corporation (MC) kediaman pangsapuri.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, pemberian geran berjumlah RM5,000 kepada 282 skim strata kos merupakan kali pertama dilakukan di negeri ini.

“Setiap pangsapuri yang mempunyai JMB atau MC dan mahu melakukan aktiviti keluarga atau bergotong-royong boleh memohon bantuan tersebut daripada ADUN kawasan masing-masing.

“Sebanyak 113 skim berada di bawah kawasan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah menerima geran ini.

“Oleh itu, saya berharap pihak JMB atau MC dapat memberikan manfaat kepada masyarakat yang tinggal di skim kediaman berstrata dalam kawasan MBS,” kata Aminuddin di Majlis Penyampaian Geran kepada JMB/MC Bagi Tahun 2022 Majlis Bandaraya Seremban.

Aminuddin turut menambah bahawa MBS sentiasa aktif dalam menyelenggara perumahan strata.

“Pada tahun lalu, sebanyak RM578,000 diperuntukkan kepada mereka bagi melakukan proses baikpulih bumbung dan kerja berkaitan Rumah Pangsa Bukit Nibong dan Rumah Pangsa Taman Zaiton Indah.

“Manakala, pada tahun ini sebanyak RM350,000 diperuntukkan bagi kerja mengecat, menurap jalan, menukar pagar di Rumah Pangsa Taman Bukit Nibong dan menggantikan keseluruhan pagar yang rosak di Pangsapuri Kos Sederhana Rendah Cempakapuri.

“Besarlah harapan saya agar geran serta pembaikan yang dilaksanakan ini dapat memberikan keselesaan serta dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat, Insya Allah,” ujar Aminuddin.

Turut hadir, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo kok Seong; Exco Pembangunan Belia dan Sukan, YB Dato’ Mohamad Taufek Abd Ghani; Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, YB J.Arul Kumar dan Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Jabatan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon.

Foto: Nabil Syafik

Show More

Related Articles

Back to top button