Berita

499 usahawan tani terima insentif berjumlah RM3.74 juta

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memperkenalkan beberapa inisiatif bagi menggalakkan pembangunan sektor pertanian dalam negeri selain memperkasakan ekonomi rakyat khususnya golongan petani yang terjejas pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah Insentif Siswazah Tani (InSisT9), Insentif Petani Muda, Insentif Agro Pengeluaran Makanan (Agrocash), Insentif Keselamatan Makanan dan Insentif Pembangunan Tanah Terbiar.

“Seramai 499 orang pengusaha menerima insentif-insentif ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3,738,503.

“Diharapkan insentif-insentif seperti ini dapat menggalakkan lebih ramai individu khususnya anak muda meneroka dan menceburi bidang pertanian.

“Penglibatan lebih ramai pengusaha secara tidak langsung akan meningkatkan Kadar Sara Diri (Self Sufficiency Level-SSL) untuk tanaman makanan yang masih rendah ketika ini,” kata beliau.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Penyerahan Insentif Ekonomi Rakyat Bidang Pertanian 2021 secara telesidang pada petang Isnin.

Aminuddin berharap, semua pihak yang menceburi bidang pertanian dapat memastikan bahawa makanan yang dihasilkan bukan sahaja berkualiti, malahan selamat untuk dimakan.

Turut hadir, Exco Pertanian dan Industri Makanan, YB Dato’ Ir.Bakri Sawir.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button