BeritaMenarik

Majikan ladang ditegur tidak patuh peraturan penginapan pekerja

JERAM PADANG: Sebuah syarikat perladangan di Rompin ditegur kerana tidak patuh peraturan penginapan pekerja tempatan serta warga asing mengikut kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan (JTKNS).

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Veerapan Superamaniam berkata, beliau mengingatkan majikan bahawa kemudahan asas untuk pekerja termasuk jalan, fasiliti kesihatan, tempoh waktu bekerja, gaji, air bersih serta penginapan perlu diberi keutamaan demi kesejahteraan pekerja.

“Saya juga meminta supaya kemudahan air bersih serta penginapan perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan demi menjaga kesejahteraan pekerja.

“Ini selaras dengan International Labour Organisation (ILO) yang menitikberatkan keperluan pekerja dan diberikan kemudahan mengikut Seksyen 24D Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Secara tidak langsung, ia akan meningkatkan produktiviti pekerja seterusnya meningkatkan ekonomi Negeri Sembilan,” kata Veerapan yang juga ADUN Repah.

Beliau berkata demikian selepas JTKNS mengadakan operasi bersepadu bersama penguatkuasa Majlis Perbandaran Jempol, Imigresen, PDRM (IPD Jempol), PERKESO, DOSM dan NUPW.

Veerapan meminta majikan mengutamakan pengambilan pekerja tempatan supaya dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Dalam pada itu, majikan juga perlu memastikan pekerja asing yang digajikan perlu mengikut garis panduan termasuk dokumentasi yang sah.

“Saya juga ingin meminta pihak berkuasa perlu memastikan proses pemutihan dijalankan sepanjang masa tanpa sikap bertolak-ansur.

“Sebelum ini Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan bahawa pekerja asing perlu ditempatkan di penginapan pekerja (CLQ) yang diperaku oleh JTKNS dan PBT serta dilarang sama sekali di kawasan perumahan untuk mengelak masalah sosial.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa kegagalan majikan untuk mendapatkan perakuan penginapan daripada JTK adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 24D Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 bagi setiap kesalahan,” ujar Veerapan.

Justeru itu, Veerapan memohon semua pihak termasuk JTKNS dan PBT supaya bertindak secara tegas dalam isu pekerja serta menyelesaikan mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan tiada lagi eksploitasi pekerja.

“Dengan ini, saya percaya bahawa kebajikan serta keperluan pekerja akan dapat dijaga, di samping meningkatkan ekonomi Negeri Sembilan,” jelas Veerapan lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button