Berita

76 peserta Felcra Kerangai-Penagoh terima Sijil Saham

JELEBU: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menyerahkan Sijil Saham Felcra kepada 76 peserta Felcra Kerangai-Penagoh.

Aminuddin berkata, isu ini telah berlarutan sejak tahun 2015 apabila senarai penerima asal dibatalkan atas sebab-sebab tertentu.

“Justeru itu, Kerajaan Negeri Sembilan membuat tapisan semula sejumlah 1,437 permohonan terdahulu mengikut prosedur dan syarat terkini untuk mengisi kekosongan 211 kuota saham.

“Seramai 89 nama telah disenarai pendek dan 76 nama telah diperakui oleh jawatankuasa penilai dan menerima sijil saham mereka.

“Manakala baki kuota kosong 135 akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan seterusnya,” kata beliau.

Kronologi penantian tujuh tahun

Projek FELCRA Kerangai Penagoh merupakan Rancangan Tanah Pinggir dengan keluasan lebih kurang 700 ekar. Perjanjian antara Kerajaan Negeri dan FELCRA telah ditandatangani pada 30 Januari 1982.

Tanaman yang telah ditetapkan untuk ditanam di bawah projek ini adalah getah, kelapa sawit, sayur-sayuran, buah-buahan dan tanaman lain yang pada pendapat FELCRA sesuai selepas berbincang dengan Kerajaan Negeri pada ketika itu.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 11 Ogos 2010 melalui kertas mesyuarat No.1726/2010 telah berbincang dan mengambil keputusan seperti berikut:

a. Tanah Kerajaaan Negeri yang diuruskan oleh FELCRA yang masih kosong di Kampung Penagoh dengan keluasan lebih kurang 700 ekar diagihkan kepada peserta-peserta yang dipilih terdiri daripada kalangan penduduk-penduduk setempat secara pemilikan saham berasaskan kepada keluasan tiga (3) ekar seorang.

b. Pihak Berkuasa Negeri mendapati bahawa pemilihan peserta oleh Jawatankuasa Tanah Daerah (JKTD) ini tidak mematuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh UPEN. Jawatankuasa yang dibentuk juga perlu melibatkan pemimpin tempatan di kawasan DUN berkenaan seperti ketua-ketua kampung dan pegawai-pegawai agensi berkaitan. Selain itu, senarai nama penerima saham tersebut juga tidak dibawa kepada perhatian Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

c. Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Peserta Bagi Pemilikan Saham FELCRA Kerangai Penagoh Bil.1/2015 telah diadakan pada 22 September 2015. Pegawai Daerah selaku pengerusi jawatankuasa telah memaklumkan bahawa pemberian saham FELCRA terdahulu telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Negeri kerana senarai nama penerima saham tidak dimajukan untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Pemilihan peserta perlu dilakukan semula mengikut syarat-syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh UPEN.

Oleh itu Pihak Berkuasa Negeri berpendapat keperluan untuk:-

a. Mempertimbangkan dan membuat tapisan semula sejumlah 1,437 permohonan terdahulu mengikut melalui prosedur dan syarat terkini yang ditetapkan. Permohonan tersebut merupakan permohonan terbuka dan telah mengambil kira 233 penerima saham asal yang dibatalkan untuk ditapis bersama.

Penerima-penerima asal saham juga tersenarai daripada jumlah tersebut untuk tapisan bagi memastikan tiada aduan atau isu berbangkit di kemudian hari.

b. Mengekalkan kriteria yang ditetapkan oleh UPEN melalui suratnya bertarikh 17 Ogos 2011 dengan pindaan terkini selepas mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

c. Mewujudkan Jawatankuasa Pemilihan Peserta Bagi Pemilikan Saham FELCRA Kerangai Penagoh yang baharu bagi menjalankan tapisan semula berdasarkan syarat-syarat UPEN yang telah dipinda tersebut.

d. Jumlah penerima saham dikurangkan kepada 211 orang. Jumlah 233 saham yang ditawarkan sebelum ini tidak mengambil kira penyediaan infrastruktur seperti rizab jalan dan longkang.

 

Show More

Related Articles

Back to top button