99 peneroka Felcra Rompin B terima geran hak milik kekal
JEMPOL: Seramai 99 orang peneroka Felcra Rompin B telah menerima geran hak milik kekal daripada Kerajaan Negeri.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, ia merupakan penantian sekian lama oleh peneroka yang telah mengusahakan tanah tersebut sejak tahun 1970-an lagi.
“Felcra Rompin B merupakan tanah rancangan kedua terakhir yang berjaya diselesaikan oleh Kerajaan Negeri.
“Insya Allah awal tahun hadapan, peneroka Felcra Bayai pula akan menerima hak milik tanah mereka.
“Ia menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri yang prihatin bahawa pemilikan tanah adalah perkara yang penting untuk peneroka.
“Dalam pada itu, saya juga ingin mengingatkan kepada semua penerima bahawa pemberian tanah ini datang bersama tanggungjawab.
“Di mana mereka semua perlu membayar cukai tanah sebelum 31 Mei setiap tahun,” ujar Aminuddin.
Aminuddin turut menasihatkan peneroka agar menjaga tanah yang diberikan itu sebaiknya.
“Kita tidak mahu tanah yang diberikan ini tidak terurus dan dijual.
“Hal ini kerana tanah merupakan sebuah aset yang sangat bernilai kepada anda semua.
“Oleh itu, anda harus menjaganya sebaik mungkin,” tambah Aminuddin.