Berita

AEON Seremban 2 bakal menjadi pusat membeli belah terbesar di Seremban

SEREMBAN: Bangunan baharu pusat membeli belah AEON di Seremban 2 dijangka siap pada tahun 2027.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, bangunan empat tingkat termasuk dua tingkat tempat letak kereta ini akan dibangunkan di atas tapak seluas 23.04 ekar, terletak bertentangan dengan bangunan asal dan akan dihubungkan melalui jambatan pejalan kaki.

“Projek ini dijangka siap pada tahun 2027, dan saya yakin akan menjadi satu lagi tarikan utama buat pelancong serta warga tempatan.

“Apabila siap kelak, keseluruhan AEON Seremban 2 ini akan memiliki jumlah keluasan lantai bersih (NLA) melebihi 700,000 kaki persegi menjadikannya pusat beli-belah terbesar di Seremban.

“Pembangunan ini bukan sahaja memperkukuh daya tarikan bandar Seremban, malah akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan serta memperkenalkan pelbagai jenama, makanan, hiburan dan kemudahan berorientasikan komuniti.

“Tahniah kepada pihak AEON atas inisiatif membangunkan bangunan baharu yang bakal melengkapkan kompleks sedia ada,” kata Aminuddin.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada berkata, AEON berbesar hati untuk mengumumkan pengembangan perniagaan di Seremban, sebuah bandar yang sentiasa menikmati kemajuan dan kemakmuran.

“Pembangunan ini bukan sekadar pengembangan fizikal bangunan pusat beli-belah kami tetapi ia juga merupakan komitmen kami untuk menyediakan ruang yang lebih baik kepada komuniti di Seremban khasnya untuk membeli-belah, berinteraksi, dan meluangkan masa yang bermakna bersama keluarga.

“Ia juga menawarkan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada pelanggan, di samping membantu pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Kami yakin pembangunan ini dapat menyumbang kepada aktiviti ekonomi setempat, membuka lebih peluang pekerjaan dan memperkenalkan pelbagai jenama, pilihan makanan, hiburan serta kemudahan yang berorientasikan komuniti,” jelas Naoya.

Menurut Naoya lagi, pembangunan ini merupakan sebahagian daripada strategi AEON untuk memodenkan pusat beli-belah dan perkhidmatannya.

“Pada tahun lepas, AEON telah mengukuhkan perniagaannya dengan pembukaan setor ke-35 di Setia Alam, dan pelancaran AEON Wellness serta DAISO di Bloomsvale Shopping Gallery, Kuala Lumpur.

“AEON MaxValu Desa ParkCity dan AEON Bandar Puchong turut dinaik taraf bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dan penawaran produk yang lebih baik.

“Pada tahun ini pula AEON telah membuka semula pusat beli-belah AEON Ipoh Station 18 dengan wajah baharu.

“Projek naik taraf juga sedang dilaksanakan di beberapa pusat beli-belah utama termasuk pusat beli-belah AEON Shah Alam, AEON Bukit Indah, AEON Bandaraya Melaka dan AEON Kinta City,” ujar Naoya.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button