Berita

Aminuddin garis empat strategi kepada penjawat awam Negeri Sembilan

Gerobok Rezeki khas untuk penjawat awam yang terletak di Laman Informasi Wisma Negeri.

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menggariskan empat strategi kepada penjawat awam Negeri Sembilan untuk tahun 2021.

Aminuddin berkata, strategi pertama ialah mengaplikasi perkembangan digital dalam tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Negeri Sembilan bukanlah negeri yang ketinggalan dalam perkembangan digital.

“Kita telah membangunkan sistem e-Doket, sistem e-Strata, penggunaan alat untuk mengukur lot tanah menggunakan gelombang elektromagnetik terkini serta menerima pembayaran hasil secara elektronik.

“Alhamdulillah, usaha ini terus berterusan apabila kita memperkenalkan Gerbang Digital Negeri Sembilan atau N9.Digital untuk mendakap penggunaan teknologi dan dunia digital bagi mengimbangi tuntutan Revolusi Industri 4.0 supaya institusi perkhidmatan awam kekal relevan dan dinamik.

Pelbagai bantuan untuk rakyat boleh dimohon secara dalam talian dan membantu rutin pekerjaan harian penjawat awam menjadi lebih mudah.

“Gunakanlah teknologi moden ini untuk  memudahkan penyampaian perkhidmatan dan seterusnya untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat lebih-lebih lagi ini telah digariskan Kerajaan Negeri di bawah Bidang Tumpuan Kelapan Belanjawan 2021 iaitu memperkasakan digital governance,” katanya.

Aminuddin berkata demikian dalam Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2021 di Wisma Negeri, Seremban pada pagi ini.

Membentuk identiti negeri yang unggul dan bertaraf glokal

Menyentuh strategi kedua, Aminuddin berkata pelbagai identiti Negeri Sembilan boleh diketengahkan untuk diketahui oleh umum. Rumah tradisional, keunikan binaan masjid lama, masakan tradisonal, seni ukiran dan sebagainya mempunyai anekdot tersendiri yang boleh dijalankan kajian dan rujukan pada masa hadapan.

“Keunikan adat ini membuat Negeri Sembilan dikunjungi lebih ramai pelancong dari luar dan dalam negara. Seperti yang semua sedia maklum melalui Belanjawan 2021,

“Kerajaan Persekutuan juga telah memberikan komitmen peruntukan bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi kampung budaya di Negeri Sembilan demi memastikan ketersediaan negeri yang bakal menjadi tempat tumpuan pelancong.

“Secara tidak langsung Adat Perpatih kekal terpelihara dan terus menjadi salah satu ikon pelancongan di negeri ini,” ujarnya.

Memperkukuh ekonomi negeri rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi

Mengulas strategi ketiga, Aminuddin berkata, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan menyasarkan pelaburan RM10 bilion tahun 2021, walaupun negeri berdepan situasi wabak Covid-19.

“Kita percaya kerjasama strategik antara awam dan swasta menggalakkan pelaburan dan memudahkan pelabur mencari peluang kejayaan di sini.

“Selain itu, pelaburan berteknologi tinggi yang disasar akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri, di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Saya berharap Pihak Berkuasa Negeri (PBN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan semua agensi kerajaan yang terlibat akan menggandakan usaha bagi membantu sasaran berganda pelaburan di Negeri Sembilan untuk tahun ini,” ulasnya.

Merancang kesejahteraan penjawat awam di Negeri Sembilan

Aminuddin yang juga ADUN Sikamat berkata, Kerajaan Negeri juga mengharapkan agar penjawat awam lebih kreatif dalam menjalankan tugas dan membantu sesama rakan sekerja mahupun jabatan yang lain.

“Kita ini bersaudara walau di mana kita berkhidmat. Sebagai contoh saya nyatakan, 91.65 peratus penjawat awam negeri, berkanun dan pihak berkuasa tempatan di Negeri Sembilan adalah terdiri dari kumpulan sokongan yang mempunyai purata gaji di bawah RM4,210 sebulan iaitu dikategorikan sebagai kumpulan B40.

“Sesungguhnya, Hadis Riwayat Al-Bukhari ada menyatakan “Tidak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah kecuali bertambah, bertambah dan bertambah”.

“Justeru, di bawah strategi keempat, pada hari ini dilancarkan Gerobok Rezeki khas untuk penjawat awam yang terletak di Laman Informasi Wisma Negeri.

“Gerobok Rezeki ini merupakan satu sudut mengumpul bantuan barangan makanan asas bagi keperluan penjawat awam yang kurang berkemampuan atau memerlukan bantuan.

“Mereka bolehlah mengambilnya sekadar yang diperlukan supaya lebih ramai individu atau keluarga yang terjejas dapat turut menikmati manfaat inisiatif ini. Saya juga berharap inisiatif ini dapat diperluaskan di semua jabatan di Negeri Sembilan,” kata Aminuddin.

 

Kredit Foto: Shafiq Chan (Media PPANS)

Show More

Related Articles

Back to top button