Jelajah Mahabbah MAINS santuni masyarakat Orang Asli

KUALA PILAH: Program Ziarah Mahabbah MADANI Orang Asli sempena Jelajah Mahabbah Madani IKIMfm bersama agensi-agensi Agama Islam Negeri Sembilan Tahun 2025 telah berlangsung dengan meriah di Kampung Orang Asli Guntur dan Kampung Orang Asli Chergun, di Tengkek, Kuala Pilah.
Konvoi yang mula bergerak dari Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah diisi dengan pelbagai acara menarik antaranya permainan tradisional, aktiviti mewarna kanak-kanak, persembahan nasyid, acara sumpit dan cabutan bertuah.
Kemuncak ziarah adalah lawatan ke beberapa rumah masyarakat Orang Asli sebagai tanda keprihatinan dan usaha memperkukuh perhubungan.
Penganjuran Ziarah Mahabbah MADANI Orang Asli ini bukan sahaja memperlihatkan semangat kebersamaan antara masyarakat pelbagai latar, malah menjadi platform untuk mendekatkan agensi agama dan IKIMfm dengan komuniti Orang Asli di Kuala Pilah.
Jelajah diketuai oleh Pengerusi MAINS, Dato’ Seri Dr.Abdul Aziz Sheikh Ab.Kadir bersama Ketua Pengarah, IKIM, Dato’ Dr.Mohamed Azam Mohamed Adil.
Turut hadir, Pengerusi MPKK Kampung Orang Asli Chergun, Sisah Jantan; Tok Batin Kampung Orang Asli Guntur, Jani Panglima Alang dan Pengerusi MPKK Kampung Guntur, Adnan Sulak.