Aminuddin menyeru bank bantu anak muda miliki rumah pertama

SEREMBAN: Isu golongan muda yang telah berkeluarga tetapi gagal memiliki rumah mendapat perhatian Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
“Saya menyeru institusi kewangan supaya membantu anak-anak muda mendapatkan rumah pertama mereka.
“Banyak permohonan ditolak dan anak muda yang telah berkeluarga mempunyai tanggungjawab yang berat.
“Saya berharap institusi kewangan dapat membantu pemohon membeli rumah terutamanya Type A (rumah kos rendah).
“Ada yang tidak mempunyai penyata gaji kerana bekerja sendiri, menjadi penghantar makanan atau pemandu e-hailing.
“Jadi mereka harus dibantu untuk memiliki rumah yang dijual oleh pemaju,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di majlis pelancaran projek perumahan baharu Iris @ Taman Bukit Enstek (Enstek Heights).
Projek ini hasil usahasama strategik antara New Times Development dan Yayasan Negeri Sembilan yang merupakan satu lagi kerjasama erat antara sektor swasta dan agensi Kerajaan Negeri.
Aminuddin berkata, Projek IRIS membabitkan pembinaan 145 unit rumah Superlink setingkat (22’ x 70’) berkonsep moden, pegangan bebas dan berpersekitaran hijau dengan kemudahan seperti taman, laluan pejalan kaki serta kawalan keselamatan berpagar.
“Lokasinya amat strategik antara Kuala Lumpur dan Seremban berhampiran KLIA dan dalam zon pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0.
“Pembangunan seperti ini bukan sekadar menyediakan rumah yang selesa dan berkualiti tetapi juga merancakkan ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan, inovasi pembinaan hijau serta peningkatan aktiviti perniagaan di kawasan sekitar.
“Sejak 2018, Kerajaan Negeri telah meluluskan lebih 33,000 unit rumah mampu milik, termasuk inisiatif Program Rumah Harapan Rakyat yang memberi pinjaman tanpa faedah kepada golongan B40 untuk membina rumah di tanah sendiri.
“Kerjasama pintar antara Kerajaan Negeri dan sektor swasta ini menunjukkan iltizam kita untuk membina komuniti harmoni serta memastikan setiap rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri seiring dengan visi menjadikan Negeri Sembilan negeri yang makmur, lestari dan sejahtera,” ujar Aminuddin lagi.



