AMINUDDIN: Projek pelancongan Port Dickson RM2.59 juta
PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan dana berjumlah RM2,594,000 bagi beberapa projek pembangunan pelancongan di Port Dickson pada tahun 2021.
Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, projek pembangunan pelancongan untuk peningkatan kemudahan pelancongan adalah seperti berikut:
1. Papan tanda tunjuk arah.
2. Skrin LED gergasi di Dataran Seri Kemang.
3. Naik taraf sistem pencahayaan Pantai Saujana.
4. Naik taraf Gerai Pantai Teluk Kemang.
5. Naik taraf lampu limpah di Pantai Cahaya Negeri.
6. Naik taraf lampu hiasan di Bandar Port Dickson .
“Kerajaan Negeri berharap dengan adanya inisiatif sebegini, dapat memberikan keselesaan kepada para pengunjung pantai Port Dickson dan mengurangkan rungutan serta aduan ketika mereka berkelah dan bercuti di pantai peranginan negara ini.
“Saya mengharapkan Port Dickson kembali meriah dan rancak dengan penganjuran program pelancongan tempatan dan bertaraf antarabangsa apabila memasuki Fasa 4 kelak.
“Tahun ini kebanyakan Signature Event yang menjadi Trademark Port Dickson seperti Tourism Malaysia Surfcasting Tour, Port Dickson International Triathlon, Port Dickson International Bike Fest terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19,” kata Aminuddin.
Port Dickson menyumbang 70 peratus pelancong
Menurut Aminuddin, statistik kedatangan pelancong ke Negeri Sembilan pada tahun 2020 menurun iaitu 1,046,000 orang berbanding tahun 2019 iaitu 6,425,039 orang; di mana Port Dickson menyumbang 70 peratus kedatangan pelancong Ke Negeri Sembilan.
“Ini bermakna seramai 627,000 orang sahaja yang datang ke Port Dickson pada tahun 2020 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac 2020.
“Kerajaan Negeri mensasarkan graf peningkatan kedatangan pelancong ke Negeri Sembilan terutamanya Port Dickson pada tahun 2022 seramai 50 peratus dari tahun lalu,” katanya.
Aminuddin berkata, beliau bersyukur Negeri Sembilan telah beralih dari Fasa 2 Ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara mulai 4 September yang lalu dan memberi ruang dan peluang kepada banyak sektor seperti ekonomi, pelancongan dan industri dibuka dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan .
“Namun demikian, saya juga berharap dengan kelonggaran yang diberikan, orang awam dapat menjaga diri dan keluarga dengan sentiasa memakai pelitup muka dan penjarakan sosial ketika berada di tempat yang bersesak dan ramai orang.
“Kerajaan mensasarkan destinasi pelancongan yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.
“Oleh yang demikian, saya yakin Port Dickson juga akan dibuka untuk pelancongan dalam sedikit masa lagi untuk pelancong dan pengunjung dalam negara,” ujar Aminuddin lagi.
Foto: Nabil Syafiq