BeritaProgram

Undi Pakatan Harapan, ECRL di Jelebu

JELEBU: Calon Pakatan Harapan Parlimen Jelebu, YB Dato’ Zulkefly Mohamad Omar menyeru pengundi memberikan undi mereka kepada Pakatan Harapan agar jajaran East Coast Railway Link (ECRL) boleh melalui Daerah Jelebu.

Zulkefly berkata, ini antara agenda yang beliau akan perjuangkan sekiranya beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Jelebu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November ini.

“Sedia maklum, semasa pentadbiran Kerajaan Pusat di bawah Pakatan Harapan selama 22 bulan; jajaran asal ECRL melalui Daerah Jelebu, Nilai dan Putrajaya.

“Namun, selepas Kerajaan Pakatan Harapan dijatuhkan pada Februari 2020 yang dikenali sebagai Langkah Sheraton, jajaran ECRL ini telah diubah dan tidak melalui Jelebu lagi.

“Ini satu kerugian pembangunan infrastruktur dan ekonomi kepada penduduk Jelebu.

“Sekiranya saya dipilih sebagai Ahli Parlimen Jelebu dan Pakatan Harapan berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan, saya yakin jajaran ECRL akan dibina melalui Daerah Jelebu,” jelas Zulkefly.

Universiti di Jelebu

Zulkefly berkata, beliau juga akan meminta Kerajaan Persekutuan membina sebuah universiti di Jelebu yang memberi pengkhususan dalam sektor pertanian.

“Sebuah universiti yang boleh menjalankan kajian dalam bidang pertanian adalah satu model universiti yang sesuai dibina di Jelebu.

“Sekaligus ini akan merancakkan sektor ekonomi di Daerah Jelebu kerana penambahan penduduk,” ujar beliau lagi.

 

Foto jajaran ECRL: Facebook Loke Siew Fook

Show More

Related Articles

Back to top button