Berita

Aminuddin rasmi Masjid Abu Al’Darda, Nilai Impian

NILAI: Masjid Abu Al’Darda di Nilai Impian telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata, masjid baharu yang berkonsepkan gabungan elemen Minangkabau dan Islamik, telah dibina di atas tapak seluas 7.86 ekar dan dapat disiapkan sepenuhnya pada 26 Ogos yang lalu.

“Pembinaan bangunan masjid berkeluasan 1,895.7m2 ini, merangkumi dewan solat utama, ruang solat wanita dan ruang solat limpah yang boleh menampung seramai 2,550 orang jemaah dalam satu-satu masa.

“Sebelum ini, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan sejumlah RM31.8 juta bagi pembangunan lima masjid iaitu Masjid Terapung Port Dickson, Masjid Kariah Ulu Beranang, Masjid Talang Tengah, Masjid Diraja Tuanku Munawir Seri Menanti dan Masjid Kariah Bongek.

“Manakala satu lagi pembinaan masjid adalah Kompleks Islam Masjid Al-Isra’ Tunku Besar Tampin yang bernilai RM10.5 juta,” kata beliau.

Aminuddin berharap dengan pembinaan masjid baharu ini akan dipenuhi dengan umat Islam terutamanya penduduk sekitar serta mengimarahkan masjid ini dengan program seperti qiamullail, tadarus, iftar secara istiqamah.

“Makmurkanlah Rumah Allah ini sebagai wadah penyatuan umat Islam.

“Sudah pasti janji Allah kepada yang memakmurkan masjid-Nya adalah benar. Insyaallah,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button